Negara kehilangan hasil pendapatan yang banyak serta dibelenggu hutang yang semakin naik sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Ujarnya, semasa di bawah Barisan Nasional (BN) hutang negara berada di paras RM686.8 bilion pada akhir tahun 2017 dan terus meningkat menjadi RM741.1 bilion pada 2018 di era PH.
“Hutang rasmi kerajaan pada tahun 2016 ialah RM648.5 bilion, naik RM17.9 bilion dari RM630.5 bilion pada tahun 2015.
“Hutang ini meningkat RM38.4 bilion kepada RM686.8 bilion pada akhir 2017, iaitu tahun akhir BN mentadbir.
“Selepas PH mengambil alih, hutang kerajaan naik RM54.2 bilion pada tahun 2018 menjadi RM741.1 bilion. Ini kadar kenaikan yang jauh lebih besar berbanding tahun-tahun sebelum ini,” jelas Najib Malaysia dalam Facebooknya, yang memperolehi fakta tersebut dari laman sesawang Bank Negara Malaysia.
Tambah bekas Menteri Kewangan itu lagi, hasil pemerhatiannya di laman bondinfo BNM, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, kerajaan PH telah terus meminjam dalam pasaran sukuk dan bon.
“Bila ditambah dengan bon Samurai RM7.3 bilion, maka hutang negara menjadi RM768.8 bilion pada hari ini – iaitu RM81.96 bilion lebih tinggi berbanding akhir tahun 2017.
“Dulu kata Bon Samurai untuk bayar balik hutang ‘lebih mahal’ BN tetapi dah ‘U-Turn’ – untuk projek baru. Bukan lagi untuk bayar hutang. Rakyat ditipu lagi,” bidasnya.
Tegas Najib, jika kerajaan PH tidak menjarah RM82 bilion tahun lepas dari rizab Petronas yang BN tinggalkan, maka hutang sebenar kerajaan hari ini akan menjadi RM850.8 bilion – iaitu RM163.96 bilion lebih tinggi berbanding masa BN.
“Ini belum ambil kira dividen RM1.5 bilion yang Khazanah (Khazanah Nasional Berhad) terpaksa bayar walaupun rugi untuk tahun lepas atau aset-aset negara yang sudah dan terus dijual,” tambahnya.
Justeru menurut Najib terdapat empat sebab mengapa kerajaan PH kekurangan hasil.
“Pertama, hasil SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) jatuh berbanding hasil GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Kedua, ekonomi yang telah lembab selepas PH menang menyebabkan hasil kerajaan dari cukai, duti dan dividen dari GLC (syarikat berkaitan kerajaan) jatuh.
“Ketiga, unjuran harga minyak dunia pada US$72 ditetapkan dalam Bajet 2019 oleh Menteri Kewayangan tidak tercapai. Harga minyak dunia tidak pernah sampai tahap ini selepas Bajet diumumkan. Ini menyebabkan bajet sudah lari dan hasil yang diunjurkan kurang.
“Keempat, duit sudah diguna entah mana oleh PH walaupun banyak projek rakyat telah dihentikan dan bantuan rakyat telah diturunkan atau dimansuhkan,” jelas Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan.
Najib turut sinis membidas beberapa portal media PH yang lebih fokus kepada cerita remeh-temeh berbanding isu hutang kerajaan yang beliau bangkitkan.
“Selepas perbahasan saya di Dewan Rakyat, saya tengok beberapa portal media PH naikkan cerita saya pejam mata di mahkamah sebagai Berita Utama mereka.
“Saya pun tak faham kenapa berita saya pejam mata atau ke bilik air untuk 5 minit itu lebih penting dari cerita hutang kerajaan yang telah naik dengan dahsyat selepas PH mengambil alih,” sindirnya lagi.
Najib juga menganggap berita-berita sedemikian diadakan adalah untuk mengalih perhatian rakyat daripada mengambil tahu mengenai perkara yang telah beliau sampaikan di Dewan Rakyat.
“RM163.96 bilion bukan jumlah yang kecil pun. Tak mustahak ke?
“Walaubagaimanapun, angka-angka yang saya dedahkan di sini adalah sangat sukar untuk disangkal oleh PH kerana ianya berdasarkan laporan dan data rasmi dari kerajaan PH sendiri.
“Oleh itu, saya jangka menteri-menteri PH akan terus membisu supaya rakyat tidak tahu tentang isu hutang ini,” tegasnya lagi.
0 comments:
Post a Comment