Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 30, 2015

IMPIAN JADI POLIS TAK KESAMPAIAN


Impian jadi polis tak kesampaian


Kemaman - Kedukaan berganda dialami seorang remaja kerana bukan sahaja impiannya untuk menjadi anggota polis tidak kesampaian malah bapa saudaranya turut maut apabila kereta Perodua Kancil dinaiki mereka dirempuh bas ekspres menyebabkan dia dan rakannya cedera parah.

Kemalangan berlaku di Kilometer 121.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Badrul Alam Shah di Kemasik, jam 1 pagi semalam apabila Perodua Kancil dinaiki Mohd Nabil Fikri Zulkarnain, 21, bersama bapa saudaranya, Norhazawi Awang, 39, dan dipandu rakannya, Mohd Izuan Ismail, 21, mahu membuat pusingan U menghala ke Kuala Terengganu sebelum sebuah bas ekspres yang dari arah Kuala Terengganu-Kuantan terlanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta itu.

Akibat rempuhan itu, Norhazawi yang juga pekerja pelantar minyak dan duduk di tempat penumpang belakang maut di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan teruk di beberapa bahagian badan.

Mohd Nabil Fikri yang sepatutnya melapor diri sebagai konstabel pelatih di Pulapol Air Hitam pada 6 Disember depan yang duduk di tempat penumpang hadapan dan rakannya, Mohd Izuan pula segera dikejarkan ke Hospital Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, bagaimanapun Mohd Nabil Fikri terpaksa dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu selepas keadaannya semakin kritikal.

“Ketika kejadian, bas ekspres itu membawa 41 penumpang dan dalam perjalanan dari Setiu ke Kuala Lumpur. Kesemua penumpang dan pemandu bas itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kemalangan berlaku semasa hujan renyai, lokasi kejadian adalah laluan lurus. Siasatan lanjut kes ini kita teruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Bedah siasat ke atas mangsa maut dilakukan pada jam 8 pagi semalam dan didapati mangsa meninggal dunia disebabkan pendarahan teruk.

Ketiga-tiga mangsa tinggal di Kampung Baru Kerteh dan ketika kejadian dipercayai mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka.


0 comments:

share2