Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 30, 2015

SUDAH BEROPERASI TAPI LENGANG


Sudah beroperasi tapi lengang


Seremban - Sebuah restoran di Dataran Senawang yang menjadi viral selepas penemuan tikus di dalam pinggan pencedok nasi yang digunakan kini sudahpun dibenarkan beroperasi semula.

Bagaimanapun tinjauan Sinar Harian setakat jam 11 pagi semalam mendapati ia lengang berbanding biasa.

Difahamkan sebelum ini restoran berkenaan telah diarah tutup oleh Kementerian Kesihatan (KKM) selama dua minggu bermula Rabu lalu selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, restoran terbabit telah dibenarkan beroperasi semula Sabtu lalu, selepas pemeriksaan susulan kedua mendapati mereka telah melepasi syarat kebersihan ditetapkan.

“Memang notis arahan penutupan selama dua minggu telah dikeluarkan, tapi pada Jumaat lalu pemilik telah buat permohonan untuk beroperasi semula.

“Mengikut undang-undang tuan punya premis yang diarah tutup boleh memohon kepada KKM untuk kebenaran beroperasi semula selepas arahan kebersihan dipatuhi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, bagi memastikan pemilik tidak mengulangi kesalahan sama, pihaknya akan melakukan pemeriksaan mengejut pada waktu tertentu.

Abdul Rahim berkata, jika mereka masih berdegil dan didapati tidak mematuhi syarat kebersihan ditetapkan pihaknya akan merujuk kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS) untuk tindakan lanjut dan berkemungkinan akan mengesyorkan supaya lesen perniagaan mereka ditarik balik.

“Jadi saya nasihatkan kepada orang ramai, gunakan kuasa anda sebagai pengguna membuat aduan kepada pihak berwajib atau tidak mengunjungi premis makanan yang tidak bersih.

“Dengan kerjasama seperti ini dapat memastikan pengusaha premis makanan lebih bersikap prihatin mengenai soal kebersihan dan keselamatan makanan yang disediakan,” katanya.

Sementara itu katanya, sehingga Oktober tahun ini sebanyak 129 premis telah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.


0 comments:

share2