Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 30, 2015

[CERPEN] NASI PENGANTIN DI PINGGAN RETAK - PARIDAH ISHAK

Gambar hiasan


Hari itu dia sibuk bersiap-siap untuk perjalanan yang telah dirancang dan dipersetujui bersama suaminya.

Anak-anaknya yang bertiga itu telah dipersiapkan serapi-rapinya.Tinggal si kecilnya yang belum dimandikan lagi. 'Comelnya sikecilku ini; getus hatinya. Si kecilnya itu baru saja berusia 50 hari. Sewaktu melahirkannya dia langsung tidak mengalami sebarang komplikasi. Tidaklah sesusah tika dia mahu melahirkan abang-abang dan kakaknya dahulu. Semuanya terpaksa dilahirkan di hospital. Tapi si kecil ini tidak langsung membawa masalah kepadanya.

Dengan bantuan seorang bidan kampung dan seorang jiran yang baik dia melahirkannya di rumah saja tanpa perlu berangkut ke hospital.

Kak Zi memang jirannya yang sangat baik dan rapat dengannya semenjak dia mula tinggal dipertempatan ini. Seringkali kak Zi dan suaminya membantu dia kerana dia yang banyak bermasalah berbanding dengan pertolongannya kepada pasangan itu walau ada juga sesekali.

Kadang-kadang dia merasa sangat menyusahkan jirannya kerana terpaksa menjadi kaunselor kekeluargaan kepadanya. Hanya dia yang mengerti situasi yang melengkungi kehidupannya. Walau pada pandangan yang lain hidupnya umpama sebuah tasek yang tenang, biru dan nyaman.

Sudah terasa jeran dan bosan kepadanya kerana setiap tahun ada saja masalah yang mengganggu kehidupannya bersama suami yang sangat dicintai itu. Dan terpaksa diuraikannya Namun dia masih bersabar sehinggalah hari ini dan mungkin seterusnya.

Masalah yang didepaninya bukanlah datang kepadanya setelah berkahwin malah dia dirumiti tika sedang bertunangan lagi. Mengapalah dia masih sanggup menyertakan dirinya ke dalam hubungan yang serba kalut itu tidak difahaminya.

Dia mungkin telah diberi petunjuk Allah akan kecurangan tunangannya dersama seorang gadis yang didakwa berkhalwat dengannya masih juga dia tidak sedar. Pelik sungguh, masih juga ada kasih sayang di hatinya terhadap lelaki yang mencuranginya. Mudah sekali menerima ajakannya untuk segera bernikah. Sedangkan bakal suaminya itu akan didakwa di mahkamah syariah bersama si gadis yang menggilainya itu.

Kata lelaki itu kepadanya hanya dirinya seorang yang dicintainya. Bukannya gadis itu. Maka berkahwinlah mereka dengan akad dan janji-janji manis yang belum tentu tertunai

Barangkali begitulah kalau sudah jodoh. Walauapapun yang hendak dilakukan tidak dapat lari daripada ketentuan-Nya. Dia merasa sangat berbahagia sekali kerana lelaki yang dicintainya itu kembali berulik dengannya. Walau dinikahkan secara tergesa-gesa kerana mengikut desakan lelaki pilihannya itu namun majlis meraikan perkahwinan mereka begitu meriah sekali diraikan rakan taulan, sahabat handai, jiran se kampung, saudara-mara dan kaum kerabat.

Malam perkahwinan yang sangat bersejarah baginya. Terutama insiden pahitnya. Sedaya upaya ingin dilupakannya walau hatinya merasa amat tersinggung dengan sikap suaminya yang menjuihkan hidangan pengantin yang diletakan di hadapannya.

Mungkin dia merasakan tidak layak seorang raja sehari dilayan sebegitu rupa dengan cuma se dulang hidangan nasi kenduri yang tidak ada kelainannya untuk tamu biasa. Wajahnya berubah. Tidak ada lagi senyum ceria di bibir suaminya. Dia juga turut terperanjat. Mengapa begini pula? Mana nasi pengantinnya?

Memanglah sebagai mempelai pada hari ini dia tidak boleh bertanya apapun tentang majlis yang akan dilakukan tapi masakan emaknya tidak memberitahu pengelola kenduri tentang penyediaan nasi pengantin untuknya dan suaminya. Keliru sungguh dia.

Lebih menyusahkan hatinya kerana suaminya tidak mengambil mudah tentang itu. Boleh jadi dia sangat berkecil hati kerana tidak diraikan selaku pengantin seperti sepatutnya.
Dan rentetan itu ujudlah persengketaan dan rungutan-rungutan yang menyiksa jiwanya

Apa yang diharapkannya majlisnya itu akan berjalan dengan lancar dan selesa. Nampaknya keselesaan telah terganggu. Suaminya itu menyuap nasi dengan tidak berselera. Seleranya juga hilang menyertai situasi. Terpandang pinggan nasi di depannya jantungnya berdegup kencang, Nasi pengantin diisi di dalam pinggan yang retak!

Dia tidaklah terlalu taksub dengan kepercayaan orang-orang lama namun firasatnya mengatakan itu adalah petanda yang tidak molek. Dia mulai menilik arah haluan perjalanan perkahwinannya yang bermula dengan tafsiran-tafsiran yang tidak diingininya.

Setelah nasi dijamah sedikit, hidangan diangkat kembali. Muncul pula seorang wanita sebaya emaknya mengatakan sesuatu kepadanya.
"Pengantin lelaki tidak boleh bermalam di rumah pengantin perempuan pada malam ni. Ikut adatnya begitulah..."
Dia terpinga-pinga mendengarkan begitu. Hatinya tertanya-tanya 'adakah adat sebegitu di negerinya. Pertamakali dia mengetahui adat seorang pengantin ditegah daripada bermalam di rumah pasangan yang telah dikahwininya.

Si suami memandang isterinya. Dia memahami pandangan berunsur kejengkelan sambil menjeling beg putih yang dibawanya. Teman yang mengiring suaminya turut memusatkan pandangan kepadanya. Dia serbasalah sungguh.

Suaminya tentunya telah mengisi pakaiannya ke dalam beg yang dibawanya guna melunaskan keperluannya tika bertandang ke rumah mertuanya. Kejadian sebegini pula yang berlaku. Sungguh amat dikesalinya.

"Tak apalah." Ujarnya sepatah,
Dengan ayat itu juga dia menghilang bersama rombongan pengantin yang membawanya pulang ke rumahnya sendiri. Dia menyepi diri tanpa mahu menjemput isteri yang telah dikahwininya. Mungkin itu adalah protes yang ditunjukan kerana tidak gemar dengan insiden yang dialami pada malam pengantinnya.
Teganya hati suaminya meninggalkannya di malam perkahwinan mereka. Namun ayah dan ibunya menyatukan mereka semula menurut adat menghantar pengantin beberapa hari kemudiannya.
.
Kata suaminya kepadanya, dia tidak payah berkerja kerana suaminya itu mampu memewahkan kehidupannya dengan pendapatannya seorang. Memang pendapatan suaminya itu boleh tahan juga untuk menyara hidup mereka seadanya. Kerana kemahuannya tidak banyak tentulah sangat mencukupi pendapatan suaminya sebagai staff sebuah syarikat swasta itu. Mentelah pula cuma hidup berdua.

Ketegasan suaminya tidak boleh dirubah lagi dan dia terpaksa akur dengan keputusannya. Sehari suntuk pula dia tidak bertegur sapa dengan suaminya sebagai tanda protes hatinya yang tidak langsung menyetujui kehendak suaminya walau tidak berani membantah. Hinggakan jiran-jiran yang tinggal bersebelahan rumah mereka menganggap pasangan itu tidak ada di rumah. Sebetulnya masing-masing sedang melayan perasaan.

"Takmalu ke?" Tutur suaminya sinis. Dia terkedu. Faham benar dengan maksud kalimat pendek itu. Memang benar kakitangan di pejabat tanah rancangan felda tempatnya berkerja itu semuanya lelaki. Yang perempuan cuma dia seorang. Kerana dia seorang perempuan bak mawar yang menyeri alam tentulah dia dilayan sebaiknya. Tidak ada seorang pun yang pernah mengguris perasaannya.

Hinggakan seorang staff di situ berkira-kira hendak menjodohkannya dengan seorang pegawai luar di situ yang pendiam dan berperawakan sederhana.Kebaikan hati budinya memang memikat hatinya.
"Betul ke awak mahu kalau saya kirakan awak dengan S?" Tanya cik D. Mereka duduk bersembang berdua berhadapan.

"Boleh saja," balasnya selamba. Tanpa ada rasa bersalah kerana telah menyimpan rahsia tentang status dirinya.
'Kesian kau D, kau tak tahu aku dah nikah.'
Memang tidak ada di antara rakan-rakan sepejabatnya yang tahu dia telah bernikah kerana pernikahan yang berlaku sangat segera dan kelam-kabut itu.
'Jodohku boleh jadi sudah sedemikian suratannya.' Monolognya yang lemah bersandar kepada takdir hidup.
.Mungkin juga salahku kerana mudah tergoda dan tidak berprinsip hidup," Janggal dan mengelirukan pula andaiannya itu.

"Agaknya apa perasaan S terhadapku sekiranya dia tahu status diriku. Mungkin dia sangat marah dan malu. Marah kerana telah tertipu dengan penampilanku sebagai gadis. Tentu teramat malu kerana secara tak sengaja telah menyimpan perasaan terhadap isteri orang.' Dia termenung memikirkan kesalahannya dan akibahnya.

'Ah!Tak perlu aku nak fikir semua itu. Lagipun aku dah tak ke sini lagi..'
Betullah tu. Esok dia tidak akan ke sini lagi kerana telahpun menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada pengurus sebagaimana yang diarahkan suaminya.
Bermulalah rutin hidupnya sebagai seorang isteri sepenuh masa. Sama seperti isteri-isteri jiran-jirannya yang lain yang sentiasa ternanti-nanti saat suami pulang dari pejabat. Dan segala-gala yang dilakukan adalah untuk kebahagian bersama.

Musim awal perkahwinannya tetap ada masalah yang mengganggu keharmonian rumahtangganya. Namun tetap dilaluinya dengan tabah.

Kenangan lalu melewatinya lagi fasa demi fasa. Sekali lagi kejutan yang membuat jantungnya berhenti berdegup tatkala suaminya mengatakan keinginannya untuk berhenti kerja. Pelbagai yang menghantui mindanya memikirkan tentang masalah bakal ditempuh setelah suaminya tiada berperkerjaan. Bukan masalah kecil tu.
Kepada isterinya dia memberitahu ingin memulakan sebuah perniagaan. Tidak sudahnya dengan hanya berkerja makan gaji saja. Perlu cepat mengorak langkah untuk menjadi orang yang berjaya di dalam kehidupannya.
Suaminya itu sudah lama bercita-cita hendak menjadi seorang kaya. Tinggi sekali impian suaminya itu. Dia langsung tidak menduga suaminya yang sederhana dan pernah miliki koleksi sajak-sajak karyanya sendiri itu menjurus ke situ hala minatnya.
Dan apa pula cita-citanya? Kalau dulu ingin menjadi seorang wanita berkerjaya kini harapan itu telah musnah. Memandang bening sinar mata anak-anaknya, kecomelan wajah mereka yang redup menguburkan kegusaran hatinya hanya semata menjadi suri yang terkurung di rumah tangga hingga akhir usia. Mungkinkah cita-cita mulai disemai di sudut hati itu berpucuk subur pula?
Biarkanlah suaminya itu merealisasikan impiannya yang sekian lama menjadi cita-citanya dan diiringkan dengan doa seorang isteri yang cintakan suaminya.

Nampaknya dia tidaklah terlalu mengenali lagi siapa suaminya itu dan sejarah silam yang mendalam tentangnya. Dia hanya dikhabarkan suaminya sedikit cerita bahawa dia cuma tinggal bersama kakaknya dengan keluarga pakciknya yang kaya di sebuah kampung di hilir sebuah sungai di Selangor. lantaran keluarganya yang berpecah-belah.
Ibu mereka melarikan diri entah kemana kerana tidak tertahan dengan kerenah suaminya yang panas baran dan suka mengamuk tahap psikosis. Ditambah lagi dengan sumpah seranah mertuanya yang menyalahkan ibu malang itu di atas apa yang berlaku terhadap keluarga itu. Ibu suaminya itu sudah habis berfikir dan nekad meninggalkan empat orang anak-anaknya termasuk suaminya.

Hanya anaknya yang paling kecil dibawa bersamanya. Ibunya melangkah entah kemana arah tujuannya membawa hatinya yang luka kerana tidak tertahan lagi menanggung derita didera suaminya setiap hari ditambah dengan tekanan emosi dari pihak keluarga suaminya yang tidak bertimbang rasa. 

Tika itu usia suaminya baru 5 tahun. Kakaknyalah yang mengambil tugas ibu menjaganya sebaiknya dengan bertungkus-lumus berkerja sebagai pembantu rumah kepada keluarga pakciknya itu tanpa ada apa-apa imbalannya. Ahli keluarga itu memanafaatkan anak-anak saudara yang menumpang bersama mereka semahunya.

Dia dan kakaknya tidak pernah dapat berihat atau bersantai bersama sepupu-sepupu mereka sewajarnya kerana mereka adalah orang menumpang. Bukan ditakrif sebagai keluarga terdekat, Hidupnya dan kakaknya rutinnya setiap hari adalah kerja...kerja...kerja. Jikalau tidak siap sempurna kerja yang dilakukan akan dimaki, disumpah-seranah pakcik dan makciknya.

Apa yang dirasa dan dilihatnya disimpannya di dalam hati sebagai nota-nota yang tidak akan terpadam. Dan dia menyimpan azam untuk menjadi seorang yang kaya. Sudah tentu lebih kaya daripada pakciknya yang memiliki beberapa puluh hektar kebun kelapa itu.

Dan suaminya itu bertekad untuk segera mencari ibunya yang hilang itu. Iltizamnya yang sangat kuat untuk bertemu dengan ibunya itulah yang mungkin menyebabkannya ingin berkerja sendiri dan mencuba meraih rezeki di dalam bidang perniagaan pula.
‘Ish! Lambat pula pulangnya. Tadi kata keluar sekejap saja menghantar barang-barang pesanan pelanggan kemudian terus pulang dan bertolak ke KL. Ini dah tengahari tak Nampak bayangnya lagi.’ Dia merungut di dalam diamnya sambil meletakan beg pakaian yang mengisi keperluannya sekeluarga di muka pintu.
Perniagaan yang diceburi suaminya sebagai pengedar barang-barang peruncitan dapur semakin menampakan kemajuan dan kejayaannya. Setiap hari bersama seorang pembantunya akan berniaga ke segenap daerah mencari kedai-kedai runcit untuk menawarkan barangan jualannya. Pergaulannya sangat luas dan mengenali ramai mereka yang sealiran dengan bidangnya.
Wang ringgitnya yang banyak memudahkan apa saja kemahuaannya. Dan isterinya itu mulai curiga dengan tingkah lakunya yang mulai bergaya sakan mutakhir ini. Jikalau dulu tidak kisah berpakaian sederhana kini tidak lagi. Mesti bersiap rapi kalau berpergian berperfum segala ke mana saja lebih-lebih lagi jikalau ke bandar di utara mengambil bekalan perniagaannya.
Kecurigaannya yang menyelirati mindanya yang bersarabut itu terjawab setelah dia menyelongkar dashboard lori besar bertayar enam milik suaminya dan menemui potret seorang gadis cantik berkulit putih kuning dengan catatan nama Irene Lee di belakang foto itu. Dari rupa parasnya dia menelah gadis itu tentu seorang China.
Tahulah dia kini bahawa suaminya itu sedang dilamun percintaan dengan gadis itu berdasarkan frasa cinta yang banyak ditemui disimpan di dalam dashboard lori itu. Hatinya terluka sungguh. Kesedihan yang menguraikan air matanya. Dan mengambil keputusan drastik meninggalkan segala yang dimiliki bersama suaminya dengan membawa tiga orang anak-anaknya yang masih kecil. Membawa hatinya yang luka entah ke mana arahnya.
Sejarah ibu mertuanya yang lari meninggalkan rumah suami dan anak-anaknya kerana amukan rasa hiba diulanginya. Tapi dia tidak sanggup meninggalkan anak-anak kesayangannya walau seorang. Kesemuanya diangkut sekali dengan susah payah mendokong si adik di tangan kanan dan tangan kiri mendorong beg besar. Kakak dan abang dibiarkan berjalan terkedek-kedek.
Anak-anak yang tidak tahu apa-apa yang dirasai ibu mereka hanya mengikut saja langkah yang diatur ibu mereka yang kegundahan, kegelisahan dilambung rasa sedih yang tidak terbendung lagi.
Kehilanganya bersama anak-anaknya merisaukan ibu bapanya. Tambah lagi suaminya yang menyedari tindakan nekad isterinya itu berpunca daripada kesilapannya kerana mencurangi isterinya lewat nota surat yang ditinggalkannya. Dia perlu menebus kesilapannya itu demi isteri dan anak-anak yang disayanginya. Padanya melupakan Irene Lee tidak susah meski anak taukeh besar kilang barang-barang pelastik itu kelihatan sangat mencintainya.
Rumahtangganya perlu diselamatkan daripada keruntuhannya terlebih dahulu. Soal Irene akan difikirkan penyelesaiannya kemudian. Puas pula dia ke sana sini mencari anak-anak dan isterinya yang akhirnya ditemui di rumah emak saudara isterinya itu di JB.
“Berilah peluang kedua kepada abang. Abang berjanji tidak akan ulangi kesilapan lalu. Demi anak-anak kita bina semula keluarga kita.”
Lunak dan lirih suaminya berbahasa mencairkan amarahnya. Mudahnya hati terpujuk. Kesilapan sentiasa dilakukan samaada sedar atau tidak setiap insan biasa yang tidak sempurna dan dia harus memiliki jiwa besar untuk memaafkan. Apalagi memaafkan kesilapan suami tersayang walau perbuatannya sangat melukakan perasaannya.
“Dah siap semuanya? Jom kita bertolak.” Suaminya mencapai beg pakaian yang disiapkannya membawanya ke kereta sebaik selesai memakir lorinya di sisi rumah mereka.
Sebenarnya dia merasa tidak sedap hati hendak ke KL bersama keluarganya lantaran keadaan dirinya yang masih lemah sebab baru habis pantang melahirkan zuriatnya yang keempat. Tapi apakan dayanya menolak permintaan suaminya mengeluarkan sejumlah wang simpanannya untuk membeli sebuah kedai di bandar terdekat. Bank tempatan di daerah ini tidak membenarkan pengeluaran tunai dengan jumlah yang banyak. Terpaksalah ke KL juga justeru di situ HQ bank langganannya.
“Kita singgah sekejap di Karak. Anak-anak lapar nak makan…” Saran isterinya.
“Tak payahlah…sampai di KL nanti boleh makan.” Dia menoleh melihat anak-anak kecilnya yang bertiga di kusyen belakang seraya tersenyum tanpa kata mengharapkan anak-anaknya memahami dan bersabar menahan kelaparan.
Pandangannya terpaku keterkejutan amat melihat lori yang sarat muatan ayam melinglong laluannya sedang melaju ke arah kereta mereka. Dia sudah tidak ingat apa lagi setelah itu kecuali di dalam hatinya dia berdoa mohon Allah selamatkan nyawa anak-anaknya, suaminya. Andainya ajalnya sudah tiba dia reda.
Allah mendengar doa hamba-hamba-Nya. Kemalangan di lebihraya Karak itu tidak mengorbankan nyawanya anak-anaknya, suaminya. Hanya dia yang mengalami kecederaan tahap kritikal. Koma  berbulan-bulan. Sedar dari koma lumpuh pula. Suaminya yang sihat walafiat semakin berjaya dalam bisnisnya dan menjalani kehidupan berbahagia bersama isteri yang baru dikahwininya Airina @ Irene.
Alasan suaminya berkahwin lagi bukan sebab tidak sayangkannya lagi tapi demi anak-anak. Percaya atau tidak bukan soal utama baginya. Ternyata kasih sayang suaminya kepadanya telah beralih arah dan semakin terasa kepudarannya
Sedang dia hanya mampu berdoa semoga ada cahaya di hujung terowong yang menyinari kehidupannya bersama ibu bapa dan anak-anaknya membawa perubahan diri yang didambakannya agar pulih dari kelumpuhan yang memenjarakan pergerakannya. Kembali normal sediakala. Di perbaringannya yang terlayang kepadanya memori lalu tertayang di skrin minda satu persatu babak kehidupannya yang bermula pada malam pernikahannya.


0 comments:

share2