Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 20, 2019

MAKLUM-BALAS KEPADA VIDEO TERBITAN PERSATUAN PEKEBUN-PEKEBUN KECIL KUALA TERLA CAMERON HIGHLANDS







MAKLUM-BALAS KEPADA VIDEO TERBITAN PERSATUAN PEKEBUN-PEKEBUN KECIL KUALA TERLA CAMERON HIGHLANDS BERKENAAN TINDAKAN PENGUATKUASAAN KE ATAS KEBUN-KEBUN DI KAWASAN TADAHAN AIR TERLA

Sebagai reaksi kepada penerbitan video dipercayai oleh Persatuan Pekebun-pekebun Kecil Kuala Terla Cameron Highlands mengenai tindakan penguatkuasaan ke atas kebun-kebun di kawasan tadahan Terla, berikut ialah maklum-balas kepada beberapa perkara yang telah dibangkitkan ;

PERKARA 1

Seramai antara 250 dan 300 keluarga yang terlibat dengan pertanian di kawasan ini yang dengan itu dibayangkan, telah terjejas punca pendapatan mereka ekoran tindakan pihak penguatkuasa merobohkan struktur-struktur serta kebun-kebun haram mereka.

MAKLUM-BALAS 1

1.1 Di kawasan sekitar Sg Ichat sendiri yang dalam kawasan tadahan air Terla), ia telah mula diteroka sejak tahun 1990-an atau hampir 30 tahun lepas.

1.2 TOL yang paling awal pernah dikeluarkan ialah pada tahun 1993.

1.3 Hanya 50 TOL atas penama atau ketua keluarga pernah dikeluarkan. Tetapi realitinya ialah, bagi setiap satu (1) TOL yg dikeluarkan, terdapat lebih daripada seorang pengusaha atau ketua keluarga yang dalam kalangan anak beranak, sanak-saudara mereka mengusahakan sesuatu lot tanah berkenaan.

PERKARA 2

Sungai Ichat dan Sungai Terla dikatakan sebagai dua (2) sungai yang berbeza, dan sumber air bagi penduduk Cameron Highlands hanya datang atau bersumberkan Sungai Terla semata-mata.

MAKLUM-BALAS 2

2.1 Ya, Sungai Ichat dan Sungai Terla memanglah dua (2) sungai yang berbeza. Dan ya, sumber air yang diperolehi di muka sauk bagi diproses menjadi air terawat di Loji Rawatan Air Kuala Terla cuma daripada Sungai Terla setakat ini.

2.2 Bagaimanapun, kedua-dua sungai tersebut berada dalam kawasan tadahan air Terla yang sama di sebelah hulunya, yang antara lain meliputi Hutan Simpan Terla A dan B, Gunung Siku, serta Hutan Simpan Hulu Ichat.

2.3 Dan kedua-duanya (Sungai Terla dan Sungai Ichat) sepatutnya menjadi penyumbang kepada sumber air (di muka sauk seterusnya disalurkan ke) Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Terla untuk diproses menjadi air terawat.

2.4 Oleh kerana Sungai Ichat yang teruk tercemar – diburukkan lagi dengan zon penampan di kedua-dua belah tebingnya turut diterokai haram; maka setakat ini, sumber air bagi LRA Kuala Terla hanya diperolehi dari Sungai Terla.

(Video yang menunjukkan lokasi kononnya kawasan tadahan air, sebenarnya hanyalah kolam takungan air yang dari kolam takungan air ini, Sungai Terla yang sama mengalir ke hilir lagi sebelum memasuki muka suak bagi LRA Kuala Terla berkenaan).

2.5 Bagaimanapun kini, sumber air mentah dari Sungai Terla sudahpun didapati semakin berkurangan, yang akan menyebabkan kekurangan sumber air mentah yang kritikal pada masa akan datang.

2.6 LRA Kuala Terla telah mula beroperasi pada tahun 2007 dengan kapasiti yang boleh mencapai antara 780 meter padu sejam dan 800 meter padu sejam. Bagaimanapun kini, keupayaannya rendah iaitu kira-kira antara 480 meter padu sejam dan 550 meter sejam atau kekurangan antara 250 meter padu dan 300 meter padu.

2.7 Keperluan air mentah dari Sungai Ichat yang berdekatan dengan itu, sangat diperlukan untuk diproses oleh LRA Kuala Terla bagi menampung dan memastikan bekalan air terawat mencukupi pada masa depan.

2.8 Sebelum air mentah dari Sungai Ichat dapat dan selamat digunakan, pemulihan Sungai Ichat juga perlu dilaksanakan dan mengambil masa sebelum air sungai tersebut boleh digunakan untuk dirawat.

2.9 Beberapa kajian dan ujian perlu dilaksanakan bagi memastikan sumber air dari Sungai Ichat benar-benar selamat untuk digunakan bagi proses rawatan air di LRA Kuala Terla berkenaan.

PERKARA 3

Para pekebun telah bebelanja antara RM200,000 dan RM600,000 untuk kerja-kerja menaik-taraf kebun masing-masing dengan antara lain membina rumah plastik, sistem hidroponik serta rumah bagi pekerja asing.

MAKLUM-BALAS 3

3.1 Pelaburan memang diperlukan bagi menjayakan sesebuah kebun itu tetapi sewajarnylah juga dipastikan, pelaburan tersebut masih menepati syarat-syarat yang ditetapkan dalam sesuatu TOL yang dikeluarkan.

3.2 Antara syarat-syarat tersebut ialah mesti tiada pembinaan struktur-struktur kekal di atas tanah yang diluluskan TOL berkenaan, serta, mengenal pasti lokasi khusus bagi pembuangan sampah-sarap.

3.3 Jabatan-jabatan berkenaan juga ada menyediakan garis panduan khusus bagi kerja-kerja penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan di kawasan sensitif tanahtinggi ini. Antara lainnya, keperluan membina perangkap kelodak yang mana ada pekebun yang akur lalu membinanya manakala yang lain, mengabaikannya demi mengurangkan kos.

3.4 Begitu juga Jabatan Pertanian telah menetapkan penggunaan racun-racun serangga perosak tertentu yang boleh diguna tetapi ada dalam kalangan pekabun yang demi mengurangkan kos juga, telah menggunakan sama ada racun serangga perosak yang diseludup dari luar negara atau racun yang sah tetapi sebenarnya untuk kegunaan tanaman di kawasan-kawasan tanah rendah. 

PERKARA 4

Para pekebun telah mengusahakan tanah berkenaan lebih 50 tahun dan mempunyai lesen TOL sejak 45 tahun lepas sebelum dihentikan pada tahun 2017.

MAKLUM-BALAS 4

4.1 Gambaran yang diberikan seolah-olah mereka diberikan TOL untuk satu tempoh selama 45 tahun secara terus-menerus, sebelum tidak lagi diberikan lesen tersebut pada tahun 2017.

4.2 Yang sebenarnya ialah, tempoh sah TOL ialah setahun, yang perlu diperbaharui dari setahun ke setahun. Begitulah juga yang telah dilaksanakan sepanjang – sebenarnya, 24 tahun lepas, berdasarkan TOL pertama dikeluarkan pada tahun 1993.

4.3 Cuma pada tahun 2017, TOL tidak lagi dikeluarkan atas sebab pelanggaran syarat ke atasnya yang antara lainnya, tidak boleh membina struktur kekal seperti rumah pekerja di atasnya. 

4.4 Apatah lagi, kebun-kebun yang diusahakan ini terletak dalam kawasan tadahan air yang apabila terjejas, akan turut memberi kesan kepada aliran bekalan air bersih dan terawat yang diharapkan.

PERKARA 5

Para pekebun meminta agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan semula keputusan untuk penguatkuasaan ke atas kebun-kebun mereka (ekoran pemberian notis 30-hari untuk mengosongkan tanah-tanah/kebun-kebun yang diusahakan).

MAKLUM-BALAS 5

5.1 Kerajaan Negeri perlu bertegas dalam hal ini maka permintaan para pekebun kecil berkenaan tidak dapat dilayani, demi memelihara alam sekitar daripada tercemar seterusnya bagi menjamin bekalan air terawat yang berterusan untuk keperluan kira-kira 70 peratus penduduk Cameron Highlands.

5.2 Kerajaan Negeri juga telah membuat keputusan supaya perkara-perkara berkaitan tanah-tanah pertanian ini akan diserahkan kepada Perbadanan Setiausasa Kerajaan (SUK) (ENG; State Secretary Incorporated) untuk mengendalikannya.

5.3 Yang menerusinya, Jabatan Pertanian Negeri misalnya, akan diberi tanggungjawab untuk menyelaras dan memastikan amalan pertanian yang berkesan dan selamat berpandukan MyGAP (Malaysia Good Agriculture Practice), perlu diikuti sepenuhnya oleh para pekebun di kawasan tanahtinggi ini.



0 comments:

share2