Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 18, 2017

[MARAN] BELA NASIB PEMANDU TEKSI


Bela nasib pemandu teksi


Skim perlindungan insurans pemandu teksi akan dilaksanakan menjelang tahun hadapan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib berkata, skim yang akan dilaksanakan di bawah Skim Perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu telah diluluskan di Dewan Rakyat dan dijangka akan berkuat kuasa pada Jun ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, seramai 75,000 pemandu teksi bekerja sendiri termasuk pemandu Grab Car dan Uber akan mendapat manfaat daripada pelaksanaannya.

“Pemandu hanya perlu membayar kadar caruman 1.25 peratus sahaja daripada pendapatan bulanan diinsuranskan.

“Pembayaran caruman itu wajib dibayar secara prabayar bagi tempoh perlindungan selama 12 bulan dan ia hendaklah diperbaharui bagi kesinambungan tempoh perlindungan tersebut.

“Ini merupakan satu pembelaan kepada golongan pemandu teksi kerana berisiko kemalangan semasa bertugas akan dapat pembelaan termasuk keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis penyampaian hadiah kepada 476 pelajar cemerlang Sekolah Menengah Agama Chenor, di sini kelmarin.

Ismail berkata, skim tersebut adalah inisiatif kerajaan untuk memberikan perlindungan keselamatan sosial kepada rakyat sebelum ia diperluaskan ke sektor lain.

Menurutnya, kadar bayaran caruman setahun yang perlu dibuat kepada Perkeso adalah antara RM157.20 hingga RM592.00 setahun bergantung kepada pendapatan yang diinsuranskan.

Katanya, antara faedah bakal diperoleh pemandu teksi ialah perlindungan bagi bencana kerja jika mendapat kemalangan, perubatan percuma klinik panel Perkeso atau kerajaan, bayaran faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan dan sebagainya.

Sementara itu, pemandu teksi Bustani Alwi, 66, berkata, pengumuman itu tentunya sesuatu yang dinanti-nantikan pemandu teksi sepertinya kerana perlindungan insurans sedia ada hampir tidak membantu ekonomi mereka.

“Insurans perlindungan taksi hampir RM1,000 bagi sebuah kereta Proton Saga Iswara 1.5cc, kami hampir tak mampu nak bayarnya. Tak ada satu badan pun yang memperjuangkan perkara ini.

“Jika benar ada, saya nak tahu juga perkara ini lebih jelas. Selama ini saya pemandu teksi berasakan insurans terlalu mahal,” katanya.


0 comments:

share2