Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 25, 2018

[KUANTAN] KEMUDAHAN DI LKIM LONJAK INDUSTRI PERIKANAN



Kemudahan di LKIM lonjak industri perikanan



Pelbagai kemudahan infrastruktur di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di negeri Pahang menjadi antara faktor negeri ini berada di kedudukan keempat tertinggi di semenanjung Malaysia sebagai pusat pendaratan ikan.

Pengarah LKIM Pahang, Rashima Baharuddin, berkata, ia jelas menunjukkan beberapa lokasi berpotensi untuk dibangunkan sebagai Bandar Perikanan di negeri ini.

Menurutnya, pertambahan bot yang mendaratkan hasil tangkapan membuatkan kompleks tersebut dibangunkan untuk fasa kedua pada tahun 1995 dengan kos RM44 juta menjadikan kawasan itu seluas enam hektar dengan panjang jeti 800 meter.

“Dengan keluasan itu, ia mampu mengendalikan pendaratan serentak 30 bot laut dalam selain bot pukat tunda dan jerut dengan kapasiti pendaratan 100,000 metrik tan setahun.

“Malah banyak kemudahan yang disediakan dalam fasa dua pembangunan jeti pendaratan ikan ini antaranya jeti tambatan bot, jeti bekalan input, slipway (bengkel), bengkel pukat, bilik sejuk (10 tan dan 20 tan) dan banyak lagi.

“Justeru, potensi Kuantan untuk menjadi Bandar Perikanan adalah sangat tinggi,” katanya pada Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Secara Tunai bagi Persatuan Nelayan Kawasan Kuantan, semalam.

Hadir merasmikan program, Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Dato' Mustaffar Kamal Ab Hamid.

Rashima berkata, pihak pengurusan LKIM juga mula melaksanakan kajian bagi mengenal pasti keperluan peningkatan dan menaik taraf kemudahan infrastruktur Kompleks LKIM Kuantan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Sementara itu, Mustaffar Kamal berkata, bantuan yang disalurkan itu bukan hanya berkaitan skop pekerjaan mereka, namun turut merangkumi semua perkara bagi meringankan beban golongan tersebut.

Beliau berkata, banyak kemudahan untuk nelayan disediakan di kawasan Beserah amnya.

“Contohnya, naik taraf jeti nelayan yang ada di kawasan Beserah.

“Tidak terkecuali bantuan kepada anak - anak nelayan turut diberikan kerajaan melalui Yayasan Pahang di samping bantuan baik pulih rumah daif,” katanya.

Pada program itu, seramai 232 nelayan menerima elaun sara hidup.

Pada tahun 2017, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.4 juta untuk Bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan kepada hampir 2,000 nelayan di negeri Pahang.


0 comments:

share2