Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 25, 2018

[PEKAN] MOF PERTIMBANGKAN CADANGAN KETUA KAMPUNG



MOF pertimbangkan cadangan ketua kampung



Kementerian Kewangan (MOF) mempertimbangkan cadangan membina sebuah pusat pemindahan banjir di Kampung Temai Hilir.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan kementerian terbabit, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, pihaknya akan mengemukakan usul tersebut ke Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak.

"Perkara tersebut mendapat pertimbangan sewajarnya berikutan ia satu keperluan buat penduduk kampung tersebut dan sekitar setiap kali musim banjir," katanya pada program khidmat masyarakat MOF di Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, di sini, petang semalam.

Beliau berkata demikian selepas Ketua Kampung, Johar Sulaiman mengemukakan perkara itu semalam.

Sementara itu, Johar berkata, pihaknya berbesar hati dan gembira dengan maklum balas kementerian memandangkan kesulitan yang dihadapi penduduk setiap kali banjir melanda.

Setiap kali musim banjir, katanya, penduduk berdepan kesulitan untuk ke pusat pemindahan sementara yang terletak di sekolah tersebut.

“Mangsa perlu menaiki bot jika mahu ke sekolah ini. Memang satu pusat pemindahan yang tetap amat diperlukan bagi menampung kira-kira 1,000 penduduk.

“Kita berharap projek ini dapat disegerakan memandangkan kampung ini antara kawasan yang sering kali dilanda banjir,” katanya.


0 comments:

share2