Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 25, 2017

[TIOMAN] TDA BERJAYA LAKSANA SEMBILAN PROJEK


TDA berjaya laksana sembilan projek


Sejak 2012, perlaksanaan projek oleh Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) di Pulau Tioman di bawah peruntukan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melibatkan dana berjumlah RM28.5 juta.

Sehingga tahun ini, sembilan projek bernilai RM19.4 juta berjaya dilaksanakan.

Pengurus Besarnya, Khairur Rizal Ramli berkata, lapan daripada sembilan projek itu siap sepenuhnya termasuk projek pembinaan laluan pejalan kaki menghubungkan Tekek dan Air Batang yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak pada 20 Julai lalu.

Menurutnya, baki tujuh projek lagi antaranya adalah kerja enapan sisa kumbahan, pembinaan gerai dan Dataran Tioman serta pembinaan Jambatan sungai Tekek.

"Lagi projek yang telah siap ialah pembinaan tembok penahan hakisan di Tekek, pembinaan Jambatan sungai Batang Sabut, pembinaan jambatan Tanjung Said, dan pembinaan jambatan sungai Lalang yang kesemuanya di Tekek.

"Bagaimanapun satu lagi projek yang telah siap sepenuhnya tapi belum dimuktamadkan bayarannya adalah pembinaan jeti baharu di Kampung Air Batang yang bernilai RM4.4 juta," katanya di sini semalam.

Khairur Rizal berkata, sembilan projek itu melibatkan dana RM19.4 juta dan kesemuanya merupakan projek berbentuk naik taraf kemudahan asas, infrastruktur serta utiliti di Pulau Tioman.

Dalam pada itu, beliau berkata, projek baharu yang dijangka akan dilaksanakan pada tahun hadapan adalah Kajian Bekalan Air Pulau Tioman yang bajetnya akan disalurkan kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), sebanyak RM2.2 juta.

Katanya, RM5.5 juta pula adalah projek pemanjangan Jeti Kampung Genting dan pembinaan jambatan sungai Mangkai di kampung sama.

"Keseluruhan bajet bagi pelaksanaan projek ini yang telah diluluskan oleh pihak kerajaan menerusi ECERDC adalah sebanyak RM27.1 juta.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada PM, MB Pahang, MP Rompin dan YB Adun Tioman kerana memudahkan segala urusan penyaluran peruntukan bagi pembangunan serta menyediakan kemudahan asas di Pulau Tioman," katanya.


0 comments:

share2