Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 25, 2017

[KUANTAN] PADAH TUNGGANG MOTOSIKAL SECARA BERBAHAYA


Padah tunggang motosikal secara berbahaya


Penunggang dan pembonceng direman tiga hari selepas ditahan kerana menaiki sebuah motosikal dalam keadaan melulu dan berbahaya ketika lari dari pemeriksaan polis, di sini awal pagi kelmarin.

Perintah reman ke atas suspek berusia 18 dan 27 tahun itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman, pagi semalam.

Reman bermula hari ini hingga 26 November, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagi seksyen ini, suspek berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Penahanan dua rakan itu susulan tindakan mereka bersama sekumpulan penunggang lain lari setelah dihampiri anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) ketika lepak berhampiran Pusat Tranformasi Bandar (UTC ) Pahang di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, anggota MPV terbabit menghampiri kumpulan bermotosikal itu untuk pemeriksaan bagaimanapun sebaik dihampiri, kumpulan itu terus melarikan diri secara berpecah kepada dua kumpulan.

Polis bertindak mengekori dan kedua-dua suspek yang dikenalpasti dikesan berada dalam salah sebuah kumpulan tersebut.

Polis mengrahkan mereka berhenti namun arahan tidak diendahkan sebaliknya kedua-dua suspek terus melarikan diri dan melanggar lampu isyarat merah.

Tindakan nekad suspek berjaya dihalang apabila motosikal mereka berjaya dipintas polis berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Lim Hoe Lek di sini.

Suspek yang gagal mengawal motosikal terlanggar kenderaan MPV sebelum kedua-duanya berjaya ditahan.

Hasil pemeriksaan mendapati penunggang dan pembonceng tidak memiliki lesen memandu.

Kedua-dua mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan untuk tindakan lanjut. Sebelum permohonan reman dibuat bagi membantu siasatan pagi semalam.


0 comments:

share2