Seorang Pengarah Syarikat Alfafa Development & Construction Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menipu membabitkan pembinaan sebuah rumah banglo berjumlah RM99,000, tiga tahun lalu.
Norsham Abd Aziz, 47, didakwa menipu seorang guru, Sabrina Baharuddin, 38, dengan menawarkan skim pembelian rumah banglo murah di Maybank Cawangan Jengka pada 15 Ogos 2014.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Majistret, Nur Syafiqah Noorinda.
Nur Syafikah kemudiannya menetapkan sebutan semula pada 18 Disember depan dengan ikat jamin sebanyak RM20,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, berdasarkan fakta kes, pada 15 Ogos 2014 Sabrina telah membuat bayaran pertama di Maybank Jengka dengan membuat pindahan wang sebanyak RM99,000 ke akaun Maybank milik Norsham.
Bayaran tersebut adalah atas urusan pembelian rumah banglo Alfafa setingkat.
Kemudian Sabrina telah menandatangani perjanjian tempahan rumah dengan Norsham selaku pemilik syarikat perumahan Alfafa Development & Construction Sdn Bhd nombor syarikat 1033976-p di Pejabat Peguam Tetuan Radzi & Abdullah.
Semasa Sabrina menandatangani perjanjian tersebut, Norsham tidak hadir dan Sabrina diminta untuk menandatangani perjanjian tersebut terlebih dahulu.
Bagaimanapun, sehingga kini rumah masih tidak dibina dan didapati kawasan tersebut dipenuhi semak samun dan terbiar.
Sabrina datang ke balai polis buat laporan polis kerana berasa ditipu melibatkan kerugian berjumlah RM 99,000.00.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
0 comments:
Post a Comment