Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 17, 2017

PAHANG DISARAN BINA LEBIH BANYAK LOJI JANA KUASA HIJAU




Kerajaan negeri Pahang disaran agar menyokong pembinaan lebih banyak loji jana kuasa biogas di negeri itu mengikut kesesuaian dan keperluan yang dilihat mampu mendatangkan manfaat kepada rakyat khususnya dari segi ekonomi.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah pembinaan loji sedemikian masih kurang di negeri itu dan ia seharusnya diberi perhatian untuk membantu menyelesaikan isu bekalan elektrik dan air di Pahang terutamanya di kawasan luar bandar.

“Bukan sekadar loji biogas ini sahaja, tetapi kita perlu mengalu-alukan projek-projek teknologi hijau lain kerana Pahang kaya dengan sumber alam semula jadi yang turut mempunyai potensi untuk menjana lebih banyak tenaga yang dapat diperbaharui,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian pada majlis pelancaran loji jana kuasa biogas Cenergi SEA Sdn Bhd (Cenergi) dan Tanah Makmur Berhad (TMB) di Sri Jelutung di sini semalam yang turut dihadiri oleh Pengarah Eksekutif Cenergi Datuk Ahmad Jauhari Yahya.

Loji jana kuasa tersebut berupaya menjana 1.5 MW tenaga dan dikendalikan oleh Metro Havana Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat usaha sama antara Cenergi dan TMB.

Tengku Abdullah bertitah pembinaan loji jana kuasa berkenaan juga mampu mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan enjin diesel di kilang-kilang minyak sawit di kawasan itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Tanah Makmur Berhad, Tengku Datuk Seri Ahmad Faisal berkata pembangunan kilang penjanaan tenaga hijau itu disarankan oleh Lembaga Miyak Sawit Malaysia susulan pelaksanaan projek menaik taraf taraf kapasiti kilang memproses buah kelapa sawit Sri Jelutong Palm Oil Mill Sdn Bhd (SIPOM) kepada 45 metrik tan sejam.

“Loji jana kuasa ini menggunakan teknologi inovatif yang membolehkan gas metana yang terhasil daripada efluen kilang minyak sawit diperangkap dengan cekap untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua buah syarikat berkenaan akan terus bekerjasama bagi tempoh 16 tahun akan datang bagi membangunkan lagi sektor tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui di Pahang.


0 comments:

share2