Sebuah keluarga miskin di Kampung Badok di sini merayu bantuan ramai bagi mendapatkan kehidupan yang lebih selesa untuk membesarkan anak-anak kerana tidak mempunyai pendapatan tetap selepas jatuh sakit.
Saadan Yusof, 39, bukan sahaja buta mata kiri tetapi turut menghidap penyakit ‘slip disk’ yang menyebabkan dia tidak mampu untuk melakukan kerja berat bagi menyara keluarga.
Menurutnya, dia tinggal di rumah pusaka yang usang tanpa bilik bersama isteri dan tiga anak-anaknya di kampung itu sejak 10 tahun lalu dan pernah beberapa kali memohon bantuan daripada kerajaan.
“Kami sekeluarga hidup dengan wang bantuan RM350 yang diberi JKM setiap bulan tidak ada sumber lain, saya tidak mampu bekerja dengan wang itulah saya menyara keluarga.
“Saya ada dapat bantuan barangan baiki rumah daripada pejabat zakat seperti batu bata, pasir dan batu tetapi perlu membinanya sendiri, saya tak mampu lakukan kerja berat,” katanya ditemui semalam.
Saadan berkata, isterinya Hidayatul Shahida Mat Yusof, 32, juga tidak mempunyai pekerjaan untuk membantunya menyara keluarga.
Katanya, dua anaknya Nur Zulaikha Elisya, 8, dan Nur Aina Atiqah, 7, bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sanggang Seberang manakala anak bongsunya Muhamad Aiman Danial baru berusia 21 bulan.
Menurutnya, sebelum ini dia masih mampu melakukan kerja kampung seperti bertukang dan sebagainya tetapi selepas disahkan doktor menghidap slip disk lebih setahun lalu tidak mampu lagi melakukan kerja berat. Saadan berkata, anak keduanya juga menghidap penyakit anemia dan perlu berulang ke hospital Temerloh setiap tiga bulan sekali.
“Nasib baik ada kenalan yang bantu saya meminjamkan keretanya dapat jugalah bawa anak ke hospital tetapi tidak tahu berapa lama lagi boleh pakai kereta dia.
“Sekarang bekalan air sudah dipotong, bil elektrik sudah lebih RM400, saya tidak tahu cara nak bayar.
“Kerap kali juga barangan makanan di rumah terputus, terpaksa pinjam duit kawan-kawan, bila dapat duit bantuan JKM baru bayar balik,” katanya.
Saadan berkata, dia mengimpikan kehidupan yang lebih selesa memandangkan anak-anaknya semakin membesar lebih-lebih lagi dua daripadanya perempuan.
Katanya, dia berharap sangat untuk memiliki rumah di bawah program perumahan rakyat termiskin (PPRT) kerana sudah mempunyai tapak sendiri iaitu berhadapan dengan sedia ada miliknya ketika ini.
“Saya harap kali ini dipermudahkan bantuan kepada kami, saya bukan sengaja meminta tetapi memang tidak mampu untuk bekerja,” katanya.
Kepada orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian dengan sumbangan tunai boleh dimasukkan terus ke akaun BSN 06-4004100003755-4 atau berhubung dengan keluarga ini di talian 019-4955634.
Sementara itu Pertubuhan Kebajikan Warisan Kuala Semantan (Pintas) akan berusaha membantu keluarga Saadan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih selesa dengan bergotong-royong membaiki rumah sedia ada.
Timbalan Yang Dipertuanya, Mohd Khusairy Mohd Salleh berkata, pihaknya mendapat maklumat berkenaan kehidupan susah keluarga itu semasa beliau sendiri menziarahi keluarga Saadan baru-baru ini.
“Pintas akan cuba bantu keluarga ini dengan mencari sukarelawan untuk bergotong royong membina rumah ini dengan menggunakan barangan bantuan yang diterima daripada pusat zakat.
“Cuma kita tidak ada simen untuk buat lantai, kalau ada penyumbang simen sekurang-kurangnya 30 beg kita boleh siapkan, dan kalau ada penaja untuk makanan sukarelawan nanti lebih baik, kami buat bergotong royong tidak mengambil sebarang upah,” katanya.
Dalam pada itu, keluarga Saadan pernah menerima bantuan baiki rumah bernilai RM10,000 di bawah program bantuan rumah banjir.
Adun Kerdau, Dato' Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pihaknya telah menyediakan peruntukan untuk baik pulih rumahnya yang terjejas akibat banjir besar yang melanda pada 2014.
Menurutnya, selain itu, Saadan juga ada memaklumkan kepadanya untuk menambah lagi permohonan bantuan itu bagi menyiapkan rumahnya itu tetapi belum ada permohonan rasmi lagi.
Katanya, pihaknya sentiasa mengambil tahu keperitan rakyat dan sekiranya ada pihak yang layak menerima maka mereka tidak pernah dipinggirkan.
“Selain Saadan, masih ramai yang uzur dan tidak berkemampuan yang perlu juga dibantu, Saadan masih muda dan perlu bekerja untuk hidup berbanding yang langsung tidak bermaya.
“Bagaimanapun kita tetap menyokong jika Muip (Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang) sekali lagi dapat membantunya di bawah skim Fakir,” katanya dihubungi semalam.
0 comments:
Post a Comment