Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 14, 2016

MANGSA CULIK TRAUMA TURUN KE LAUT


Mangsa culik trauma turun ke laut


Lahad Datu - Ruslan Sarapin, 39, pemilik kapal pukat tunda yang menjadi mangsa culik kumpulan Kidnap For Ransom (KFR) masih trauma dan hilang semangat untuk ke laut menangkap ikan.

Ruslan atau dikenali sebagai Haji Nasir antara nelayan di daerah ini yang menjadi mangsa culik kumpulan itu di kawasan perairan Semporna berhampiran Pulau Gaya pada 27 September lalu.

Enam lelaki bersenjata api M14 dan M16 menaiki sebuah bot laju menahan kapal pukat tunda milik Ruslan ketika menangkap ikan bersama 26 anak kapalnya di perairan berkenaan.

Hanya Ruslan diculik, manakala anak kapalnya tidak diapa-apakan.

Ruslan kemudian ditahan oleh kumpulan penculik di Pulau Sitangkai Filipina dan dibebaskan tiga hari kemudian.

Dia menceritakan pengalamannya itu ketika menerima kunjungan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim di kediamannya di sini hari ini.

Ruslan berkata, dia tidak lagi bersemangat seperti dulu untuk turun ke laut bagi meneruskan aktiviti menangkap ikan kerana bimbang akan menjadi mangsa untuk kali kedua.

Menurutnya, dia dikawal ketat oleh beberapa lelaki yang bersenjata api sepanjang berada di Pulau Sitangkai itu.

Irmohizan berkata, beliau simpati dengan Ruslan yang masih dalam keadaan trauma.

Beliau bimbang kejadian seperti itu boleh berulang lagi.

Menurut beliau, ini kali kedua beliau berkunjung ke daerah itu untuk melihat sendiri isu yang dihadapi golongan nelayan di timur Sabah dan membantu untuk menanganinya dengan baik.


0 comments:

share2