Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 28, 2017

[LIPIS] HIDUP SUSAH BUKAN ALASAN


Hidup susah bukan alasan


Kesusahan hidup yang dialami sedikit pun tidak mematahkan semangat seorang murid tahun enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa di sini untuk berjaya dalam pendidikan.

Lee Tze Kent, 12, yang tinggal bersama keluarganya di Taman Sri Tempoyang di sini juga berpotensi dalam pelajaran malah tidak menjadikan kesempitan yang dialami sebagai alasan dalam apa jua perkara.

Tze Kent berkata, melihat kesukaran bapanya, Lee Wan Chong, 40, yang bekerja sebagai mekanik serta ibunya, Low Mey Lee, 33, yang juga seorang suri rumah menyara keluarga menjadikannya sentiasa bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh agar dapat mencapai cita-cita sebagai seorang doktor.

Menurutnya, dia percaya kejayaan dalam pelajaran mampu mengubah nasib ahli keluarganya selain turut menjadi pembakar semangat buat tiga adiknya untuk turut cemerlang dalam pelajaran.

Tza Kent turut aktif dalam sukan walaupun menghidap asma sejak dari kecil lagi.

“Walaupun saya aktif bersukan namun pelajaran tetap utama. Setiap petang saya akan siapkan kerja sekolah serta ulang kaji pelajaran di rumah.

“Selain itu, saya juga kerap sertai program pendidikan anjuran Empower Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi memperoleh lebih banyak ilmu bagi setiap subjek,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Empower Ecer di kediaman keluarganya di sini, kelmarin.

Hadir menyampaikan bantuan tersebut ialah Guru Penolong Kanan Pentadbiran SJKC Chung Hwa, Foo Siew Yoke.

Sementara itu, Pegawai Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia, Tamil Selvam S berharap dengan bantuan itu dapat meringankan bebanan keluarga Tze Kent untuk menyediakan keperluan sekolah.

“Selain program motivasi kepada Tze Kent di bawah Program Empower, pihak kami turut melawat rumah keluarga pelajar itu untuk melihat persekitaran keluarga berkenaan.

“Menerusi bantuan ini, kita berharap Tze Kent dan adik-beradiknya yang lain dapat belajar dalam suasana yang kondusif dan mampu mencapai kejayaan dalam pelajaran, ”katanya.


0 comments:

share2