Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 16, 2017

PELAJAR TERKEJUT PM TWEET KEJAYAANNYA


Pelajar terkejut PM tweet kejayaannya


Sepang - Muhammad Shahmeer Mohd Nashrul tidak percaya dan terkejut apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan ucapan tahniah kepadanya kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam pertandingan “16th Chinese Bridge Chinese Proficiency Competition for Foreign College Students”, yang berlangsung pada 12 Ogos lepas.

Pelajar tahun dua jurusan akauntan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam itu meraih tempat kedua dalam pertandingan kemahiran bahasa Mandarin yang menyaksikan 145 pelajar dari 112 negara bersaing selama sebulan (13 Julai-12 Ogos) di Changsa, wilayah Hunan.

Dalam laman Twitter perdana menteri itu, Najib berkata “Tahniah Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul wakil @transUiTM dpt tmpt ke-2 di Pertandingan HanYuQiao China yang disertai peserta seluruh dunia!”, yang kemudian dibalas oleh Muhammad Shahmeer: “This is crazy! THANK YOU PM! #malaysiaboleh”.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah tiba dari China awal pagi ini, pelajar berusia 22 tahun itu begitu teruja apabila membaca artikel yang ditulis oleh pihak UiTM mengenai kejayaan beliau di China, yang memetik ‘tweet’ ucapan tahniah perdana menteri.

“Saya seperti betulkah ini? Di China, kita perlu ada sambungan Internet melalui VPN (virtual private network) dan barulah dapat mengakses laman sosial seperti Facebook atau Twitter. Jadi saya pun bersusah payah mendapatkan VPN dan bila ada sambungan Internet, reaksi saya adalah ‘It is crazy. Oh my God and I need to reply Datuk Seri Najib.

“Saya menjawab tweet perdana menteri, mengucapkan terima kasih dan selepas itu mengambil ‘screen shot’ sebelum memaparkannya di Facebook dan Instagram. Selepas itu, ramai mengucapkan tahniah. Saya sangat gembira dan terima kasih kepada semua terutama perdana menteri,” katanya.

Menjadi peserta tunggal negara, beliau membawa pulang trofi kemenangan juara bagi peringkat Asia, Anugerah Populariti Terbaik dan Anugerah Kepetahan Terbaik semasa pertandingan akhir serta biasiswa tajaan penuh oleh kerajaan China. Tempat pertama diraih pelajar dari Sudan.

Mengulas mengenai pertandingan itu, beliau berkata ia merangkumi beberapa pusingan iaitu pusingan pertama adalah memberikan ucapan diikuti dengan membuat apa-apa persembahan berhubung kebudayaan China dan akhirnya menduduki peperiksaan lisan dan bertulis mengenai sejarah dan latar belakang negara itu.

“Bagi pusingan kedua saya memilih untuk menyanyi sebuah lagi China bertajuk ‘You Are My Eyes’ dan semua peserta perlu mengikuti kelas setiap hari untuk belajar mengenai sejarah dan kebudayaan negara China. Saya agak tertekan tetapi gembira kerana dapat menambah pengetahuan dan pengalaman,” katanya.

Muhammad Shahmeer yang juga artis baharu menggunakan nama pentas Meer Nash, mewakili negara selepas berjaya menjadi juara pada pertandingan kemahiran bahasa Mandarin di peringkat kebangsaan pada 13 Mei lepas.

Beliau yang berlepas ke Beijing pada 10 Julai lepas berkata hampir setiap hari beliau berlatih di UiTM Shah Alam dan pensyarah mengajar serta melatihnya bagaimana mengawal nada dengan lebih baik, ekspresi serta menambah ilmu mengenai sejarah dan budaya negara China.

Anak kacukan Melayu dan Cina dari Georgetown, Pulau Pinang itu fasih berbahasa Hokkien dan mula bertutur bahasa Mandarin dari darjah satu apabila ibu bapanya menghantarnya ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Mengenai biasiswa itu, anak kedua daripada tiga beradik itu belum membuat keputusan untuk belajar bahasa Mandarin di mana-mana universiti di China selama dua tahun.

“Saya telah membuat permohonan untuk meneruskan pengajian dalam bidang lain seperti nyanyian atau tarian. Lagipun, pengajian di UiTM belum selesai,” katanya.

Mengenai karier sebagai penyanyi, Muhammad Shahmeer berkata beliau akan merakamkan dua buah lagu dalam versi Melayu dan Mandarin keluaran syarikat rakaman On Muse serta lagu duet bersama artis remaja Maisarah Ukulele bertajuk ‘Tetap Setia’ tidak lama lagi.

Meer Nash merupakan artis baharu On Muse Sdn Bhd selepas pembubaran kumpulan Votez yang dianggotainya bersama dua yang lain yang popular dengan lagi ‘Propa’ dan ‘Bila Mana’ membawa haluan masing-masing.


0 comments:

share2