Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 15, 2017

[JERANTUT] AQEEF DAPAT KERUSI RODA


Aqeef dapat kerusi roda


Kanak-kanak berusia lapan tahun yang mengalami masalah perut membesar akibat bengkak hati dan limpa di Kampung Lada, di sini menerima bantuan kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya.

Pemberian kerusi roda oleh Adun Tahan, Dato' Sri Wan Amizan Wan Abdul Razak itu dilakukan selepas melihat penderitaan Aqeef Hannan Abdullah yang terpaksa bergerak dengan bantuan datuknya, Mat Isa Sapot, 59.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lada, Mazlan Abdul Malek berkata, pihaknya merakamkan setinggi penghargaan atas sumbangan dan keprihatinan terhadap Aqeef.

“Pemberian sumbangan melalui wakilnya, Datuk Norbaiti Abu Bakar ini dapat meringankan beban datuk dan nenek Aqeef yang menjaganya selain terpaksa mendukungnya terutama hendak ke tandas.

“Dalam masa sama juga kita akan berusaha untuk membawa Aqeef mendapatkan rawatan sewajarnya memandangkan Aqeef sebelum ini belum mendapatkan pemeriksaan doktor dan hanya bergantung kepada ubat homeopati serta rawatan tradisional,” katanya.

Mazlan berkata, pergerakan harian Aqeef yang juga anak yatim terhad berikutan bentuk fizikalnya yang memerlukan bantuan orang di sekeliling.

Pada 2 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan pergerakan harian Aqeef yang juga anak yatim terhad akibat masalah perut membesar sejak berusia enam bulan.

Kanak-kanak itu mempunyai ibu yang kini bekerja di sebuah hotel berhampiran sementara Mat Isa bekerja sebagai tukang sembelih ayam di pasar dan siak masjid bagi menampung perbelanjaan harian Aqeef dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,300.


0 comments:

share2