Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 15, 2017

[BERA] NEKAD MAHU PULIH DEMI ISTERI


Nekad mahu pulih demi isteri


Usaha seorang bilal Masjid Felda Tementi, di sini mencari penawar atau ubat bagi merawat penyakit strok dialaminya tidak pernah terhenti.

Malah Abdul Ghani Othman, 74, yang mengidap penyakit itu sejak Oktober tahun lalu sentiasa mencari peluang untuk sembuh seperti sedia kala.

Isterinya, Fatimah Che Muda, 59, berkata, pada peringkat Abdul Ghani hanya terlantar dan bergantung sepenuh pada bantuannya namun berikutan dirinya juga yang semakin kurang sihat menyebabkan suaminya itu nekad untuk pulih.

“Puncanya, dulu ada darah tinggi dan lepas tu jatuh motor, itu yang kena strok ni. Sendi bahu kiri pula macam terkehel, sebab tu yang tak boleh nak gerak tangan.

“Sekarang, Alhamdulillah dia semakin pulih. Dia dah boleh duduk tapi kena papah. Saya pun tak kuat mana, selalu juga sakit-sakit sekarang ni,” katanya.

Menurutnya, Abdul Ghani perlu memakai lampin pakai buang sepanjang masa dan ia memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi setiap bulan.

“Sejak kejadian tu, suami tak lagi dapat bertugas sebagai bilal di Masjid Felda Tementi tapi rezeki dia sebab masyarakat sekeliling sentiasa prihatin," katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani terharu melihat kunjungan Adun Kemayan, Dato' Mohd Fadil Osman dan wakil Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Mempaga serta kepimpinan Felda Tementi, di sini.

“Tak tahulah kenapa jadi macam ni, sampai terlantar macam ni, semua tak boleh buat. Dulu, pakcik aktif. Apa saja aktiviti mesti ikut.

“Dengan YB pun selalu ikut juga. Sekarang dah tak boleh sebab tu kena berubat. Tak kisahlah jauh ke dekat ke, pakcik pergi saja,” katanya selepas Program Ziarah Ukhwah anjuran MBFM Wilayah Mempaga itu.

Dalam program berkenaan, Abdul Ghani turut menerima sumbangan berbentuk makanan harian.


0 comments:

share2