Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 5, 2017

PERJUDI NYAWA DEMI GAYA


Perjudi nyawa demi gaya


Shah Alam - Bagi memenuhi keinginan dan mahu kelihatan lebih bergaya, segelintir pihak sanggup mengetepikan undang-undang untuk memiliki kenderaan klon jenis mewah.

Apatah lagi harga ditawarkan jauh lebih murah dari harga asal membuatkan lebih ramai ghairah untuk memilikinya.

Walaupun sedar kenderaan terbabit tidak mengikut spesifikasi dan tiada kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun keinginan mengatasi segala-galanya.

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib berkata, 90 peratus pemilik kenderaan klon sedar tindakan mereka salah di sisi undang-undang, namun terjerat dengan harga yang ditawarkan.

“Saya yakin orang ramai tahu tindakan memiliki kenderaan klon salah, namun saya tidak menolak kemungkinan mereka tidak tahu hukuman atau denda yang akan dikenakan jika tertangkap.

“Jangan hanya mementingkan gaya sedangkan pelbagai risiko lain sedang menanti apatah lagi kereta klon tidak ada perlindungan insurans sekiranya berlaku sebarang kemalangan atau sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Berdasarkan statistik daripada 2010 hingga Mei tahun ini, beliau menyatakan 372 kenderaan klon telah dirampas di mana 143 daripadanya telah dilucut hak.

“Setakat ini jumlah kes yang telah selesai di mahkamah 43 kes di mana ianya melibatkan jumlah denda RM573,700. Kebanyakan jenama kenderaan yang terlibat adalah Honda , BMW, Volkswagen dan Mini Cooper yang diseludup masuk dari Singapura.

“Di Selangor, kenderaan klon yang ditahan akan melalui prosedur seperti biasa di mana ia akan dibawa ke mahkamah untuk proses lucut hak dan selepas itu JPJ akan buat keputusan sama ada kenderaan itu akan dilelongkan atau dilesenkan dan jual sebagai scrap’,” katanya.

Taktik sindiket

Mengulas lanjut, Nazli memberitahu kebiasaannya, kenderaan yang mencecah usia hampir lima tahun dari negara jiran akan dibawa masuk ke negara ini untuk diklonkan.

“Pelbagai taktik digunakan sindiket antaranya memalsukan dokumen dan kereta klon kemudiannya akan diberikan identiti baharu dengan segala dokumen disediakan seperti cukai jalan dan geran kenderaan untuk urusan jual beli.

Nazli

“Terdapat juga sindiket yang menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) asli dan perkara seperti ini kita tidak pasti bagaimana ia terlepas ke tangan sindiket. Sama ada ia melibatkan pihak dalaman, itu kita serahkan kepada hasil siasatan polis.

“Taktik lain, terdapat sindiket yang berurusan dengan pemilik kereta sah yang sanggup kereta mereka diklonkan. Sebagai habuan, mereka juga akan dibayar untuk urusan itu,” katanya.

Walaupun pihak berkuasa serius menangani kes ini, sindiket kereta klon dilihat semakin berani apabila mempromosikan tawaran mereka melalui media sosial seperti Facebook dan Whatsapp.

“Selain menampilkan gambar kenderaan, mereka turut menawarkan pelbagai pakej untuk dipilih orang orang ramai yang berminat.

“Sebagai contoh, kenderaan yang dilengkapkan dengan dokumen, harga yang ditawarkan juga berlainan. Kebiasaannya urus niaga dilakukan secara secara tunai,” ujarnya.

Operasi berterusan

Dalam hal itu, beliau berkata, JPJ Selangor sentiasa memandang berat mengenai isu tersebut dan sentiasa menjalankan pemantauan melalui operasi khas bagi mengesan penggunaan kenderaan klon secara berleluasa di negara ini.

“JPJ menyediakan pasukan khas yang pakar dalam mengesan kenderaan klon. Ramai tidak tahu sebenarnya spesifikasi kereta mewah di setiap negara adalah berbeza, jadi itulah rujukan pasukan kami untuk kenal pasti kereta klon.
“Ada pembeli tidak tahu ada perbezaan antara kereta klon dan asli sebab itu mereka berani ambil risiko,” katanya.

Beliau berkata, sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang memantau kemasukan kenderaan dari negara jiran Singapura juga menjadi satu alternatif untuk membanteras gejala itu.

“Melalui sistem ini 99 peratus sindiket kereta klon dapat diselesaikan kerana ia mampu memantau keluar masuk kenderaan dari Singapura ke negara ini.

“Jadi orang ramai diingatkan supaya memikirkan risiko yang bakal mereka hadapi sekiranya masih berniat untuk memiliki kenderaan klon,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati membeli kenderaan terpakai.

“Ada dua keadaan dalam situasi ini, sama ada mereka sedar atau tidak. Jadi kita nasihatkan supaya orang ramai ambil tahu setiap proses urusan tukar milik tanpa menyerahkan sebulat-bulatnya kepada orang tengah.

“Apabila kenderaan mewah dijual dengan harga tidak munasabah, siasat dulu jangan terlalu ghairah membeli tanpa berfikir panjang. Jika mahu juga beli, bawa pemeriksaan di Puspakom atau semakan JPJ untuk pastikan dokumen yang asli,” katanya.


0 comments:

share2