Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 5, 2017

CABARAN UMAT ISLAM ERA 4IR




REVOLUSI Perindustrian ialah istilah yang menggambarkan fenomena dunia pada zaman moden. Fenomena ini berlaku disebabkan peralihan sejarah hidup manusia yang berasaskan pertanian kepada kehidupan yang berasaskan industri dan pengeluaran barangan untuk pasaran komersial secara besar-besaran.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa, Revolusi Perindustrian ialah satu era yang diwujudkan bagi melegitimasikan kekuatan peradaban Barat sebagai satu kuasa yang menguasai kehidupan manusia dari sudut ekonomi, politik dan cara hidup manusia secara global.

Mahu tidak mahu, Industri 4.0 sedang berlangsung di dunia global pada hari ini.

Mengikut sejarah, Industri 1.0 telah berlaku sekitar 1760-1860 ekoran penggunaan enjin berkuasa wap untuk menggerakkan mesin dan meningkatkan pengeluaran. Beberapa dekad kemudiannya muncul pula Industri 2.0 sekitar 1870-1914 yang berasaskan tenaga elektrik.

Hasilnya satu lonjakan kehidupan manusia menggunakan tenaga elektrik sebagai satu sumber asasi berlaku dengan pesatnya. Bahkan aktiviti pengilangan melonjak dengan pantas dan mewujudkan penghasilan barangan komoditi secara besar-besaran.

Selepas era tersebut, muncul pula Industri 3.0 sekitar 1960-an. Revolusi kali ini dilonjakkan oleh penggunaan tenaga elektrik secara meluas yang hasilnya membawa kepada kewujudan teknologi komputer.

Bermula sebagai peralatan untuk kegunaan pertahanan dan ketenteraan, komputer mula digunakan secara meluas sekitar 1980-an dan pada akhir abad ke-20, teknologi digital yang dikenali sebagai internet mula menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat dunia secara menyeluruh.

Kini muncul pula Industri 4.0. Teknologi kali ini dikatakan lebih canggih dan menyeluruh dengan tema ‘internet pelbagai benda’ yang berasaskan sembilan tonggak iaitu robot automasi, simulasi, integrasi sistem, internet pelbagai benda, keselamatan siber, pengkomputeran awam, pembuatan bahan tambahan, realiti diperkukuhkan, analisis data besar, dan integrasi sistem. 

Di sebalik semua ini, penulis tertanya-tanya bersediakah kita untuk menghadapi semua ini secara mental dan fizikalnya? Atau kita hanya akan menghadapinya secara tidak bersedia.

Teorinya mudah, dalam persaingan dunia pada hari ini, sesiapa sahaja yang tidak bersedia pastinya akan ketinggalan.

Dalam konteks ini, penulis terus mengamati nasib umat dan dunia Islam dari sudut peradabannya. Bersediakah kita di dunia Islam untuk menghadapi semua realiti kehidupan yang akan dilalui ini.

Jika umat Islam masih berada pada keadaan perpecahan dan tiadanya kesatuan yang utuh sama ada di peringkat nasional atau pun global, bagaimana umat Islam ingin bersedia menghadapi gelombang kehidupan yang serba terkini ini.

Dalam Surah al-Talaq ayat 12, ALLAH SWT berfirman: "ALLAH lah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi, Perintah ALLAH berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawasanya ALLAH maha kuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya ALLAH ilmunya benar-benar meliputi segala sesuatu."

Pastinya segala perancangan kehidupan di dunia yang fana ini, semuanya berada dalam pengetahuan ALLAH dan tidak akan ada seinci pun yang terlepas dari pandangannya. Dialah yang maha berkuasa atas segalanya.

Namun, umat Islam tidak boleh berserah begitu saja kepada ALLAH, tetapi umat Islam perlu bersedia dan berusaha untuk menjadi umat yang terbaik dan berjaya.

Mengambil iktibar kejayaan umat Islam pada peradaban terdahulu, mereka berjaya menguasai tamadun kerana kesungguhan, ketakwaan, kesatuan dan kekitaan yang kuat untuk membangunkan kehidupan yang bercirikan wahyu dan keinsanan.

Cabaran industri 4.0 kepada umat dan dunia Islam sangat besar. Umat Islam perlu meletakkan segala yang diinginkan untuk dicapai sebagai satu matlamat ibadah kepada ALLAH SWT.

Tidak semudah itu untuk diucapkan kerana ledakan dan kesan dari industri 4.0 akan menjadikan kita lebih mudah alpa kepada kekuasaan ALLAH kerana kita pasti akan menyaksikan kecanggihan teknologi yang hebat. Tetapi ingatlah bahawa ALLAH maha mengetahui atas segala yang kita lakukan.

Moga kita beroleh rahmat untuk menghadapi hari-hari yang lebih mencabar.


0 comments:

share2