Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 5, 2017

[BENTONG] TERHARU DAPAT JUMPA KELUARGA


Terharu dapat jumpa keluarga


Aidilfitri bagaikan tidak memberi apa-apa makna kepada banduan apabila terpaksa menyambutnya di sebalik tirai besi.

Malah ia bagaikan episod duka kerana terpaksa berpisah dengan ahli keluarga terutama anak-anak, suami dan isteri tercinta.

Situasi itu tidak dinafikan seorang banduan mahu dikenali sebagai Mamat, 30, yang juga sudah masuk tahun kelima menjadi penghuni Penjara Bentong di sini bagi menjalani hukuman atas keslahan samun.

“Suasana dan sambutan hari raya dalam penjara jauh berbeza kerana di sini saya hanya beraya seorang diri. Kesedihan sedikit terubat malah terharu bila ahli keluarga datang melawat," katanya, di sini.

Mamat berkata, sejak meringkuk di dalam penjara banyak perkara dipelajari termasuk mendedahkan diri dengan program pemulihan dianjurkan Jabatan Penjara Malaysia selain mendalami ilmu agama.

“Sejak saya di sini, saya berasa lebih tenang dan kehidupan lebih bermakna. Saya lebih menghargai keluarga saya dan orang lain di sekeliling saya. Kami di sini umpama sebuah keluarga besar. Rakan-rakan di sini banyak membantu dan membimbing saya ke arah yang lebih baik.

“Di sini kami diajar supaya melupakan kesalahan lepas. Pihak penjara beritahu, kesalahan lepas biarkan berlalu. Kami di sini untuk belajar dan menjadi orang baru, orang yang lebih berguna. Kesalahan lalu banyak sedarkan saya dan rakan-rakan," katanya.

Menurutnya, hukuman dijalani dan yang berbaki setahun lagi akan dijadikan pengajaran untuk tidak mengulangi kesilapan sama di masa hadapan.

“Perbuatan tanpa berfikir boleh menyebabkan masa depan gelap, tak guna nak menyesal, saya nasihatkan anak muda jangan lakukan sesuatu terburu-buru tanpa berfikir terlebih dahulu, jika tak akan menyesal nanti,” katanya.

Seorang lagi banduan yang mahu dikenali sebagai Tengku, 36, pula bertekad untuk memulakan hidup baharu bersama anak-anaknya selepas dibebaskan dari penjara kelak.

Apabila bertanya mengenai sambutan Aidilfitri di penjara, Tengku berkata, isterinya datang melawat bersama anak-anak dan kesempatan itu digunakan untuk bertanyakan khabar.

“Sambutan Aidilfitri dan Ramadan di penjara banyak bezanya dan kesayuannya begitu terasa bila dengar takbir raya dan lagu-lagu raya. Waktu tu hanya Tuhan yang tahu betapa rindunya saya untuk beraya bersama anak-anak dan isteri.

“Saya tak tahu hendak gambarkan macam mana rasa rindu saya pada anak-anak tapi mereka masih perlukan kasih sayang dan perhatian daripada saya dan isteri. Atas kesilapan yang saya lakukan, kami anak-beranak terpaksa berpisah sementara walaupun terpaksa menanggung rasa rindu yang menggunung,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Bentong, Muhammad Zuki Muhammad Zain berkata, program itu diadakan untuk mengekalkan hubungan antara banduan dan ahli keluarga masing-masing.

"Pemilihan banduan yang diberi peluang berjumpa dengan keluarga adalah antara puluhan banduan yang paling layak selepas penilaian prestasi dilakukan oleh pengurusan penjara.

“Mereka masih memerlukan sokongan daripada ahli keluarga dan hubungan yang akrab boleh memberi keinsafan selain menunjukkan ahli keluarga masih sayang dan sentiasa memberi sokongan kepada banduan meneruskan kehidupan pada masa akan datang serta menjadi insan yang berguna,” katanya.

Menurutnya, mereka juga dipilih berdasarkan prestasi yang dinilai oleh fasilitator selain tidak melanggar peraturan penjara dan tiada tindakan tatatertib sepanjang tempoh penahanan.

“Kita memberi peluang kepada para banduan untuk beramah mesra dengan keluarga antaranya banduan yang sudah terpisah lama kerana hukuman yang diperintahkan mahkamah.

“Inilah peluang untuk mereka berjumpa dan saling bermaaf-maafan di atas ketelanjuran yang lalu bersempena bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

“Kita juga mahu memberi pendedahan kepada masyarakat umum tentang program pemulihan yang dijalankan di institusi penjara,” katanya.


0 comments:

share2