Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 5, 2017

JANGAN CABAR KEDUDUKAN BAHASA KEBANGSAAN


Idris Haron


Melaka - Kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam pengambilan pegawai perubatan UD41 disifatkan seakan mencabar kewibawaan, kedudukan dan keistimewaan bahasa kebangsaan itu.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata isu berkenaan tidak seharusnya dibangkitkan atau disentuh kerana Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia merupakan salah satu elemen di dalam perlembagaan negara.

Beliau berkata Bahasa Melayu telah terbukti sebagai 'lingua franca' yang dituturkan lebih daripada 300 juta orang di seluruh negara dan menjadi salah satu medium komunikasi yang tidak dipertikaikan.

“Saya tidak nampak alasan mengapa Bahasa Melayu perlu diketepikan dalam soal kita hendak memenuhkan ruang kosong (jawatan) dalam Kementerian Kesihatan sama ada di hospital kerajaan atau swasta di negara ini.

“Bahasa adalah jiwa bangsa dan saya berpegang pada prinsip hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Pada 2 Julai lepas Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, syarat lulus Bahasa Melayu di peringkat SPM dilonggarkan bagi memudahkan pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM atas pelbagai sebab.

Katanya kelonggaran itu merangkumi graduan perubatan yang telah menjalani persekolahan di luar negara, mereka yang menduduki peperiksaan O-level di sekolah antarabangsa atau Bahasa Melayu di universiti, dan beberapa kategori lain.

Mengulas lanjut, Idris berkata sebagai pengamal perubatan yang merupakan warganegara Malaysia, seseorang itu harus mempunyai keupayaan berbahasa Melayu dengan baik tidak kira mereka mempunyai kelulusan ijazah dari dalam atau luar negara.

Beliau berkata kriteria itu juga penting bagi memastikan mereka dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di negara ini yang memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan itu.


0 comments:

share2