Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 15, 2017

BIG GAY IFTAR MEMPERMAINKAN HUKUM ALLAH


Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz


Shah Alam - Penganjuran majlis berbuka puasa di kalangan pendukung gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah perbuatan yang haram di sisi Islam.

Pendakwah terkenal, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz berkata, majlis berbuka puasa seperti itu bukan sahaja sia-sia bahkan mempermainkan hukum ALLAH.

Katanya, penganjuran majlis berkenaan juga bertentangan dengan ajaran Islam sebenar yang mengharamkan seks sejenis.

“Orang yang puasa perlu ikut semua perintah ALLAH dan puasa ini merangkumi semua perbuatan kita.

“Sekarang ini pula wujud golongan yang tolak hukum ALLAH tapi terima hukum lain dan itu tidak boleh dalam Islam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Hassan berkata demikian ketika mengulas mengenai program tersebut yang mula tular di media sosial sejak beberapa hari lalu selepas ia didakwa dianjurkan pada 10 Jun lalu di Bangsar dengan mendapat penglibatan daripada pendokong LGBT di negara ini.

Hassan berkata, golongan sebegini sewajarnya dikenakan tindakan oleh jabatan agama Islam dan pihak berkaitan kerana telah mencemarkan imej Islam.

“Mereka melanggar hukum ALLAH tapi dalam masa sama nak duduk sekali buka puasa. Kalau kita orang beriman, kita kena pegang semua suruhan ALLAH,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Hassan memaklumkan bahawa golongan LGBT di negara ini semakin menular susulan daripada perkembangan teknologi yang semakin pesat membangun.

Beliau berkata, perkembangan ini juga sedikit sebanyak akan mempengaruhi orang ramai khususnya golongan muda untuk menyokong gerakan LGBT ini.

“Manusia ini dalam diri dia ada satu sudut yang lemah dan boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak dengan mudah,” katanya.

Disebabkan itu, Hassan berkata, beberapa tindakan segera perlu diambil oleh pihak yang bertanggungjawab seperti menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan kelompok ini tidak bergerak bebas di negara ini.

Selain itu, golongan intelektual dalam Islam juga boleh dipanggil untuk membincangkan mengenai perkara ini dan hasil resolusinya boleh diambil untuk dilaksanakan.

“Kerajaan juga kena gubal satu undang-undang untuk jangka panjang bagi elakkan rakyat negara ini terjebak dengan gerakan sebegini pada masa depan,” katanya.


0 comments:

share2