Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 15, 2017

TERKILAN TULAR JEJAS IMEJ RESTORAN


Terkilan tular jejas imej restoran


Ipoh – Pengurusan Restoran Kampung Ipoh terkilan status seorang pelanggan yang dilihat menjejaskan imej restorannya yang menyediakan bufet Ramadan dan steamboat and grill kepada pelanggannya.

Pengurus restoran, Muhammad Naim Shafie berkata, tindakan pelanggan terbabit meluahkan reaksi negatif melalui laman sosial tanpa bertemu dengan pihaknya umpama menabur pasir dalam periuk nasi mereka.

“Tindakan tular itu dilihat memburukkan keadaan sedangkan pelanggan itu boleh bertemu sendiri dengan saya sekiranya perkhidmatan kami tidak memuaskan.

“Tindakannya itu (tular) boleh menyebabkan kira-kira 30 pekerja di restoran kami kehilangan pekerjaan jika perniagaan terjejas,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menyediakan makanan untuk 140 pelanggan setiap hari bagi bufet berkenaan dan ia menjadi tidak mencukupi sekiranya pelanggan mengambil makanan berlebihan.

“Kami tambah makanan dua kali sebelum berbuka dan dua kali seterusnya selepas waktu berbuka puasa. Semalam (kelmarin), kami ada menambah juadah yang disediakan selepas berbuka,” katanya.

Muhammad Naim berkata, pelanggan berkenaan diminta tampil bagi menyelesaikan perkara itu secara baik termasuk mengembalikan wang yang dibelanjakannya.

Terdahulu, seorang wanita memuat naik status di Facebook meluahkan rasa tidak berbaloinya ketika berbuka puasa di restoran berkenaan apabila hanya mendapat sisa makanan yang ditinggalkan dan mendakwa makanan itu tidak ditambah untuk pelanggan yang tidak menempah terlebih dahulu.

Sinar Harian berjaya menghubungi wanita berkenaan namun, gagal mendapat respons daripadanya.


0 comments:

share2