Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 15, 2017

TARIKAN 'LEMANG PUSING' KAMPUNG JAWA


Tarikan 'lemang pusing' Kampung Jawa


Klang - 'Lemang pusing' di gerai Lemang Lebaran di Jalan Kota Raja, Kampung Jawa kini menjadi trending dan tumpuan ramai selepas pengusahanya menyediakan hidangan itu menggunakan peralatan umpama mesin yang dicipta hasil cetusan idea sendiri berupa mesin ayam golek.

Lemang itu dimasak dengan menggunakan sejenis mesin bagi memastikan lemang dapat dimasak dengan sekata tanpa memerlukan penjagaan rapi selain dapat menjimatkan tenaga pekerja.

Penguasaha, Abdullah Sani Khamai, 47, atau lebih dikenali Sani berkata, cetusan idea itu lahir dari dirinya sendiri selepas melihat tempahan lemang yang semakin bertambah yang memerlukan ramai tenaga kerja sejak beberapa tahun lalu.

"Saya ambil masa dua bulan siapkan peralatan ini dengan kos keseluruhan berjumlah RM5,000 dan mula praktikkannya pada 1 Ramadan lalu.

"Antara peralatan yang digunakan adalah bearing motosikal, rantai, spoket dan lain-lain dan ia menggunakan konsep hampir sama dengan penyediaan ayam golek namun bezanya apabila lemang ini disusun secara menegak," katanya yang berniaga lemang sejak 16 tahun lalu pada setiap kali Ramadan.

Beliau yang juga seorang pengusaha bengkel, besi dan grill berkata, lemang itu disusun dalam sejenis bekas besi yang akan berpusing menggunakan 19 kelajuan daripada 25 kelajuan yang diciptanya.

"Terdapat 36 tempat sususan lemang, ia akan berpusing sampai masak menggunakan tenaga elektrik.

"Pada masa sama, saya gunakan kayu bakau yang diambil dari Kapar bagi proses pembakaran lemang," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, penggunaan kayu itu bagi memastikan rasa lemang lebih enak selain bara yang banyak berbanding menggunakan papan biasa.

"Dalam tempoh satu jam setengah hingga dua jam, ia akan masak dengan sekata dan cara ini juga dapat mengelak lemang daripada hangus.

"Saya dan pekerja tak perlu nak pantau lemang tersebut sepanjang masa, sebaliknya boleh beri tumpuan kepada pembakaran lemang secara manual yang juga masih dilaksanakan di sini," katanya.

Katanya, sehingga kini dia hanya mencipta satu mesin tersebut dan berhasrat untuk menambah bilangan mesin itu di gerai lemangnya pada masa akan datang.

"Sepanjang Ramadan, sejumlah 100 batang lemang terjual setiap hari dan saya jangka bilangannya akan meningkat menjelang Aidilfitri berdasarkan jualan lemang pada tahun-tahun sebelumnya.

"Saya letak sasaran 3,000 batang lemang akan terjual menjelang malam Aidilfitri termasuk tempahan orang ramai dan sebagainya," katanya.

Kata Sani lagi, jika dilihat pada Ramadan dan Syawal lalu, sebanyak 10,000 batang lemang berjaya terjual.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya gembira dengan maklum balas pembeli yang mengatakan rasa lemang lebih enak selepas dia memasak menggunakan inovasi mesin tersebut selain rasanya santannya yang sebati.

Berhubung dengan harga pula, katanya, kesemua lemang di gerainya dijual pada harga RM13 sebatang dan kesemua saiznya hampir sama.

"Di sini juga ada jual rendang ayam dan daging, kedua-duanya dijual pada harga RM4 seketul dan RM4.50 bagi setiap 100 gram," katanya.


0 comments:

share2