Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 5, 2017

PENGHARGAAN BUKAN SEKADAR ANUGERAH


Penghargaan bukan sekadar anugerah


Ipoh - Penghargaan terhadap anggota bomba dan penyelamat tidak cukup sekadar memberikan anugerah dan surat penghargaan mahupun majlis keraian.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, menghargai dan menghormati khidmat anggota bomba seharusnya tidak terbatas kepada program-program berbentuk perbarisan, pameran, persembahan budaya mahupun jamuan. 

Titah baginda, Sambutan Hari Anggota Bomba akan lebih bermakna jika acara sambutan diisi dengan acara-acara berunsur spiritual dan berunsur ilmu.

“Sambutan sesuatu hari peringatan wajib diisi dengan roh dan makna, yang berupaya mengetuk hati dan menyentuh sanubari, yang berupaya memberikan peringatan dan membangkitkan kesedaran, agar maksud dan tujuan diadakan sesuatu sambutan, benar-benar difahami serta dihayati oleh negara dan masyarakat. 

“Sesuatu sambutan yang diadakan, kalau sekadar berbentuk upacara, berbentuk ritual, terlalu luaran sifatnya, malah boleh tercicir daripada matlamat asal sambutan diperkenalkan. Sambutan yang berbentuk ritual seperti upacara, akan hanya membazirkan sumber kerana gagal membuahkan hasil yang dihasratkan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2017 peringkat kebangsaan di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh di sini, semalam.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris bersama Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Keberangkatan Tetamu Diraja disambut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim.

Sultan Nazrin bertitah, program yang memberi impak berupaya membawa perubahan tersendiri kepada perkhidmatan yang memberikan jangka panjang kepada anggota antaranya merekayasa program latihan dan tatacara operasi yang dapat meningkatkan tahap profesional anggota.

“Kedua, mengenal pasti peralatan terkini yang diperlukan dalam menghadapi cabaran senario semasa untuk membolehkan perkhidmatan lebih berkesan dapat diberikan. Ketiga ialah menilai prosedur operasi dan kelengkapan yang perlu dibekalkan untuk meminimumkan risiko anggota ketika menjalankan tugas.

“Keempat, merangka pakej perkhidmatan dan program kebajikan anggota bukan saja ketika berkhidmat tetapi lebih penting pada usia tua persaraan, setimpal tahap pengorbanan, beban tanggungjawab dan risiko dihadapi anggota dan kelima, meningkatkan kesedaran negara dan masyarakat terhadap pengorbanan bomba supaya negara dan masyarakat menghargai ahli bomba ketika dalam perkhidmatan dan selepas bersara,” titah baginda.

Titahnya, baginda menghargai komitmen dan dedikasi serta semangat bekerja para anggota bomba menjalankan pelbagai operasi menyelamat di Perak.

“Ketika melaksanakan tugas, anggota telah menunjukkan sifat pengorbanan, keinsanan dan sifat kemanusiaan yang tinggi melaksanakan tanggungjawab tanpa mengenali waktu dan lelah, berpanas, hadapi bahaya, sedaya upaya hulurkan pertolongan kepada mangsa bencana,” titah baginda.


0 comments:

share2