Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 5, 2017

GASING LABU KAMPUNG KUALA DURA


Gasing labu Kampung Kuala Dura


Kuala Dura - Dalam era globalisasi hari ini yang dihujani pelbagai permainan video elektronik, mungkin ramai generasi muda kian melupakan permainan tradisional seperti gasing yang dahulunya menjadi penghibur serta ‘peneman’ riadah masyarakat.

Namun, berlainan senarionya di sini apabila permainan gasing labu tinggalan nenek moyang dan menjadi identiti kampung itu terus dipertahankan orang-orang muda selain ada dalam kalangan mereka berkemahiran menghasilkan gasing labu.

Malah, jika di kampung-kampung lain sukan bola sepak sering menjadi riadah golongan muda namun di kampung Kuala Dura ini mereka lebih gemar bermain gasing labu dan hampir setiap rumah juga pasti mempunyai gasing tradisi itu.

Berkongsi cerita, Mat Yusoff Muhammad, 32, berkata, hampir kebanyakan penduduk termasuk wanita tahu bermain gasing labu tersebut dan setiap tempoh Mac hingga Mei adalah waktu terbaik berikutan cuaca kering serta panas.

“Biasa kita lihat gasing piring, tetapi di sini gasing labu yang telah jadi identiti sejak sekian lama. Permainan ini berkait rapat dengan masyarakat dulu, selepas musim menuai padi, mereka beriadah dengan bermain gasing ini, makanan pula ialah emping.

“Mengikut cerita, ketika itu gasing labu ini turut menjadi permainan masyarakat dua sempadan iaitu bagi penduduk Hulu Terengganu ini dengan Kuala Tahan, Pahang. Biarpun telah sekian lama, namun permainan tradisi gasing labu ini masih kekal di kampung ini.


Gasing labu yang belum siap dihasilkan sepenuhnya.


“Selain orang dewasa, lebih 20 anak-anak muda di kampung ini berkebolehan hasilkan gasing labu daripada kayu keranji, tualang, merlimau, penaga dan penaga sering jadi pilihan. Paling penting kayu dipilih mestilah matang untuk ketahanan gasing.

“Tali digunakan juga amat klasik iaitu daripada sejenis tumbuhan berakar yang menjalar dinamakan urat daud yang dipintal menjadi tali. Selain itu, kami turut gunakan tali balak serta tali rafia dan proses hasilkan tali begitu rumit,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Mat Yusoff, di sebalik keseronokan bermain gasing labu, aspek keselamatan perlu diambil berat kerana risiko untuk pemain alami kecederaan amat tinggi terutamanya ketika proses memangkah atau ‘nguwi’ kerana gasing boleh pecah.
Sejak kecil bermain gasing labu

Seorang lagi pemuda, Mohamad Amirul Asraf Sulong, 23, berkata, sejak kanak-kanak dia sudah didedahkan dengan permainan gasing labu itu dan menjadi harapannya juga agar tradisi itu dapat dikekalkan kerana permainan tradisi itu sebenarnya masih diminati ramai.

Katanya, biasanya pada waktu petang dia bersama rakan sekampungnya berkumpul beramai-ramai di tempat dijanjikan sebelum mula beraksi dengan gasing labu milik masing-masing dan pemilihan tempat juga penting bagi pastikan gasing berputar ligat.

“Permainan gasing labu ini tidak sesuai dimainkan di permukaan yang keras kerana risiko untuk pecah begitu tinggi. Tempoh masa ia berpusing juga bergantung kepada tanah serta teknik balingan gasing, kalau kena gayanya boleh sampai lima minit.




“Kalau orang muda di kampung lain suka main bola sepak atau futsal tetapi kami di sini lebih gemar bermain gasing. Jika hujung minggu atau hari-hari cuti, kampung ini bagaikan bertukar menjadi pesta gasing kerana semua peringkat umur keluar bermain,” ujarnya.

Warga emas Harun Mohamad, 67, berkata, sebagai orang lama dia menarik nafas lega kerana golongan muda di kampung tersebut begitu berminat dengan gasing labu itu sekali gus menjadikan permainan tradisonal itu ‘tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan’.

Katanya yang berkemahiran membuat gasing labu hampir 50 tahun lamanya, ramai anak-anak muda juga sudah pandai menghasilkannya dan kebiasaannya tiga saiz gasing dihasilkan iaitu untuk kanak-kanak, remaja serta dewasa.

“Apabila masih ada orang muda bermain permainan orang lama ini ia satu perkembangan positif kerana tidak akan lupus. 

Gasing ini dimainkan secara regu atau individu dengan cara memangkah gasing lawan, ketika inilah boleh menyebabkan pemain cedera,” katanya


0 comments:

share2