Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 22, 2017

[KUANTAN] PROJEK MARITIM TANJUNG AGAS TAK BERDEPAN MASALAH


Adnan Yaakob


Kerajaan negeri Pahang menafikan Projek Taman Perindustrian Maritim Tanjung Agas di Pekan dekat sini berdepan dengan masalah sebaliknya, ia kini dalam fasa perbincangan dengan pelabur berpotensi luar negara untuk memajukan projek itu.

Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) giat mengadakan perbincangan dengan rakan strategik luar negara bagi memastikan projek itu benar-benar memberi manfaat kepada penduduk Pahang.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai bersabar menunggu projek itu siap dan tidak sewenang-wenangnya melabelnya sebagai 'gajah putih' kerana ia masih dijalankan, bukannya dihentikan atau terbengkalai.

"Saya sendiri mendengar takimat terkini daripada PKNP namun, ia masih belum boleh didedahkan kepada umum. Bagaimanapun, saya amat yakin bahawa persetujuan muktamad antara kerajaan negeri dan pelabur dapat diputuskan tidak lama lagi.

"Apa yang utama ialah kita sentiasa meneliti perkembangan semasa dan memastikan pelaburan yang dibuat berbaloi dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucap tama pada Persidangan Rantaian Perbekalan Wilayah Pantai Timur di Pusat Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.

Persidangan sehari itu dianjurkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Ia turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk N.Rajendran dan Pengerusi Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Wilayah Timur, Datuk Mas'ut A Samah.

Adnan berkata demikian semasa diminta mengulas perkembangan terbaharu projek Tanjung Agas yang dilancarkan pada 2010 di kawasan seluas 1,710 hektar, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Wilayah Pembangunan Pantai Timur (ECER) untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan pelaburan berimpak tinggi di negeri ini.

Sementara itu, dalam ucap tamanya Adnan berkata Pahang merupakan penerima kedua tertinggi bagi pelaburan yang dilaksanakan di kawasan wilayah pantai timur, selepas Terengganu. 

"Sehingga Disember 2016, sejumlah 413 projek perkilangan telah dilaksanakan. Ini bernilai RM27.8 bilion dan mewujudkan lebih 44,940 pekerjaan di negeri ini. 

"Prestasi kukuh ini didorong oleh pertumbuhan teguh Pahang dalam sektor perkilangan, yang menyumbang hampir 50 peratus kepada jumlah pelaburan," kata beliau.

Adnan berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan dan membantu para pelabur yang berminat melabur di Pahang kerana ia akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini. 

Rajendran, pada sidang media sama, berkata MIDA meluluskan permohonan pelaburan bernilai RM4 bilion di Pahang tahun ini yang antaranya melibatkan sektor minyak dan gas, kimia dan pembinaan laluan paip.

Dalam ucapannya pula, Rajendran berkata MIDA meraikan ulang tahunnya yang ke-50 tahun ini dan mahu mengekalkan dedikasinya untuk menggalakkan dan menyelaraskan pertumbuhan industri di Malaysia.

"Dari 1980 hingga 2017, MIDA meluluskan sejumlah 28,907 projek pembuatan di mana lebih 70 peratus daripadanya telah dilaksanakan dengan pelaburan sebanyak RM692.3 bilion.

"Projek-projek ini mewujudkan lebih 2.2 juta pekerjaan untuk negara, membuka pintu kepada limpahan manfaat yang akan dinikmati oleh perniagaan tempatan dan ekonomi secara keseluruhan," katanya. 

Pada 2016, katanya MIDA meluluskan 733 projek perkilangan dengan pelaburan RM58.5 bilion, dengan RM3.5 bilion atau 6 peratus daripadanya disumbangkan oleh negeri-negeri di pantai timur.


0 comments:

share2