Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 29, 2017

36 TAHUN CARI ANAK LELAKI


36 tahun cari anak lelaki


Ipoh – “Pulanglah nak, ibu nak sangat melihat kamu,” demikian luahan hati seorang ibu, Maimon Salim, 59, yang buntu untuk mengesan anaknya, Selamat@Nadzrul Mohamed, 38.

Menurutnya, usaha mengesan anak lelakinya itu sejak 36 tahun lalu tidak berhasil selepas dia bersama dua anak perempuannya dijual kepada keluarga lain oleh saudara terdekatnya.

“Keadaan ketika itu amat terdesak apabila kekangan kewangan selain menumpang di rumah kakak ipar di Batu Kurau, Taiping pada 1981. Saya minta dia menjaga anak saya sementara saya mendapat pekerjaan sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur.

“Dua bulan kemudian, saya pulang untuk menjenguk mereka dan saya kecewa apabila mereka menyerahkan ketiga-tiga anak saya kepada keluarga lain yang saya tidak kenali,” katanya ketika ditemui di Wisma MCA, di sini. 

Maimon berkata, dia terlalu menyayangi ketiga-tiga anaknya itu dan usahanya berhasil apabila menemui dua anak perempuannya, Siti Salwa, 40, dan Siti Hawa, 36, tahun lalu.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati Selamat tinggal di Kampung Hutan Puteh, Machang, Kelantan.

“Saya lega apabila dua anak perempuan saya berjaya ditemui dan masing-masing sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Mereka kini tinggal di Kamunting dan Melaka.

“Hanya Selamat sahaja yang gagal dijejaki. Kami berpisah agak lama dan saya impikan untuk bertemu dengannya terutama pada waktu berpuasa dan raya nanti. Sudah 36 tahun menanti,” katanya.

Sementara itu, anaknya, Mohd Faizal Zulkarnain Abdullah, 19, berkata, ibunya sering teringatkan abangnya itu dan mahu untuk bersama-sama keluarga lain untuk menyambut Ramadan kali ini.

“Kami tidak pernah bertemu dengan abang dan kami teringin sekali untuk berjumpa buat kali pertama. Pada masa sama, dapatlah ibu menunaikan impiannya bertemu dengan abang,” katanya.


0 comments:

share2