Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 29, 2017

[JERANTUT] TAWAR PENGHANTARAN KEPADA PELANGGAN ELAK PEMBAZIRAN


Tawar penghantaran kepada pelanggan elak pembaziran


Bijak menjalankan strategi jualan menjadikan kambing golek yang dijual satu-satunya peniaga kambing golek daerah ini sentiasa habis tanpa pembaziran.

Bukan sahaja menjual produk lain dari yang lain pada kadar harga mampu, malah turut menyediakan perkhidmatan penghantaran.

Pengusaha perniagaan ini, Hairizal Kadri, 38, berkata, sejak berniaga bermula kelmarin, kambing golek jualannya sentiasa habis terjual.

Katanya, dia yang telah mula berniaga di gerai Kambing Golek King Tiga Rasa sejak tiga tahun lalu di Padang FA, Jerantut, menjual kambing golek dilengkapi sos dan coleslaw hanya pada harga RM12 sebekas.

“Kebiasaannya orang menjual pada harga lebih mahal, tapi saya ambil inisiatif jual pada harga murah sebab memikirkan juga kehendak pelanggan.

“Bukanlah menjual murah sehingga langsung tak untung, masih lagi untung, cuma saya cuba berniaga supaya pada masa sama, mereka yang kurang mampu juga dapat merasa kambing golek saya,” katanya.

Menurutnya, dia turut membuat penghantaran kepada pelanggan walaupun permintaannya cuma sebekas di kawasan berhampiran bandar daerah ini.

“Kebanyakan pelanggan ada yang tidak mahu keluar rumah tambahan pula sekarang bulan puasa. Jadi, saya lakukan penghantaran bermula jam 6.30 petang. Ini merupakan strategi bagi mengelak produk saya tidak habis jual,” katanya.

Hairizal atau mesra dengan gelaran Ejay berkata, peniaga harus memikirkan situasi menang-menang di mana peniaga tidak rugi dan dalam masa sama pelanggan juga tidak rasa membazir.

“Kalau kita jual pada harga yang pelanggan mampu dan menjaga kualiti makanan, pelanggan juga bukan saja dapat jimatkan duit perbelanjaan mereka, malah tidak membazir sebab makanan yang dibeli tak boleh dimakan,” katanya.

Dia dalam pada itu melahirkan rasa kesal dengan tindakan peniaga yang cuba mengaut keuntungan berganda dengan mengitar semula makanan yang tidak habis dijual sebelumnya.

“Saya belum pernah alami keadaan kambing golek dijual tidak habis. Tapi kalau ia berlaku, mungkin saya akan berkongsi dengan rakan-rakan dan jiran tetangga. Sebagai peniaga, kita tak boleh jual makanan yang dah basi. Sebaliknya kita jual makanan seperti kita juga nak makan,” katanya.


0 comments:

share2