Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 29, 2017

KEMUDAHAN RUANG SOLAT MUDAH ALIH


Kemudahan ruang solat mudah alih


Kuala Terengganu - Projek Surau Mobile pertama di Pasar Manir, di sini, menjadi kemudahan bagi pengunjung dan peniaga menunaikan solat khususnya sepanjang Ramadan ini.

Projek anjuran Kumpulan Kesukarelawan Kontemporari, Fakulti Sains Sosial Gunaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu adalah yang pertama di negeri ini dalam menyediakan kemudahan yang selesa kepada komuniti untuk menunaikan kewajipan itu.

Pengarah projek, Ahmad Suhail Ahmad Sabri berkata, berdasarkan kajian, surau sedia ada tidak mampu menampung komuniti setempat terutama peniaga dan pengunjung untuk menunaikan solat pada satu-satu masa.

“Surau mudah alih ini mampu menampung sehingga 30 jemaah pada satu-satu masa.

“Surau ini dijangka akan menjadi model bagi setiap pasar malam di negeri ini. Dengan adanya kemudahan ini, ia akan menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Surau Mobile Budiman di Pasar Manir, di sini.

Turut hadir, Dekan Fakulti Sains Sosial Gunaan Prof Puad Mat Som, Penasihat Projek Prof Madya Sahar Sa’di Hashim dan Ketua Pemuda Umno Terengganu Johari Abu Bakar.

Ahmad Suhail berkata, pilot projek di Pasar Malam Manir itu diharap menjadi model kepada kemudahan surau mudah alih pasar-pasar malam lain di sekitar Terengganu.

“Projek ini dijadualkan akan diteruskan lagi pada Julai depan di pantai Teluk Ketapang,” katanya.

Surau tersebut turut dilengkapi kemudahan tempat mengambil wuduk selain diletakkan tirai sebagai pemisah antara jemaah wanita dan lelaki.

Sementara itu, Johari berkata, projek itu menjadi perintis bagi mewujudkan lebih banyak surau berbentuk mudah alih di pasar malam di negeri ini.

“Kita harap akan ada lebih banyak surau berbentuk mobile sebegini di setiap pasar malam bagi memudahkan pengunjung, peniaga dan orang ramai menunaikan solat.

“Projek sebegini amat dialu-alukan dan kita di peringkat Pemuda akan memberi sokongan penuh dalam menjayakan usaha murni ini,” katanya.


0 comments:

share2