Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 28, 2017

STESEN MINYAK BERUSIA 80 TAHUN

Stesen minyak berusia 80 tahun



Kuala Pilah - sebuah stesen minyak yang beroperasi di pekan Johol, di sini, mencatatkan sejarah tersendiri kerana sudah beroperasi sejak 80 tahun lalu dan khidmatnya masih diperlukan sehingga kini.

Meskipun terdapat uar-uar stesen itu akan ditutup pada 1 Mac 2010 lalu, namun selepas mengambil kira keluhan dan kebimbangan penduduk sekitar, pemilik stesen berkenaan mengambil keputusan meneruskan operasi.

Stesen minyak Chop Huat Hin di Jalan Besar, Johol yang dibina sebelum merdeka terus dikunjungi ramai berikutan di kawasan Johol hanya itu saja stesen minyak yang ada.

Pekerja stesen pam minyak terbabit, Lim Chong Bo, 70, berkata, stesen itu merupakan tertua dalam daerah ini.

“Saya sudah kerja lima tahun di sini. Ketika saya kecil, stesen minyak ini dah ada dan hingga kini masih mampu beroperasi.

“Walaupun tapak stesen ini kecil, tapi permintaan penduduk sangat memberangsangkan sebab kedudukan Johol jauh dari Tampin dan Kuala Pilah. Jadi penduduk sangat bergantung kepada stesen ini bagi mengisi minyak,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, stesen minyak berkenaan dibuka setiap hari bermula 7.45 pagi sehingga 7 malam.

“Stesen ini tak pernah tutup, tetapi terhad sehingga jam 7 malam saja sebab waktu malam bukan waktu kemuncak.

“Waktu kemuncak ketika pelajar pulang sekolah, musim perayaan, musim cuti persekolahan dan cuti umum. Kalau musim perayaan, memang tak menang tangan layan pelanggan.

“Konsep di sini layan diri dan mempunyai dua pekerja termasuk saya,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Anuar Ishak, 58, dari Kampung Tanggai berkata, seharusnya kawasan berkenaan mempunyai lebih dari satu stesen minyak kerana kedudukan Johol terpencil dan menyukarkan penduduk untuk mengisi bahan bakar berkenaan.

“Orang kampung ramai yang guna motosikal seperti warga emas. Jadi sangat memerlukan pam minyak di pekan-pekan kecil. 

“Kalau macam saya, hendak ke Tampin semata-mata nak isi minyak, ia agak sukar. Jika stesen ni tutup, memang tiada jalan lain terpaksa pergi ke Tampin atau Kuala Pilah yang jaraknya lebih 10 kilometer,” katanya.

Anuar turut mencadangkan pemimpin setempat mencari jalan terbaik untuk membina sebuah stesen minyak baharu berdekatan.




0 comments:

share2