Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 28, 2017

KERAJAAN TAK FUNGSI KALAU TOLAK GST

Kerajaan tak fungsi kalau tolak GST



KUALA LUMPUR - Pembangkang hanya tahu menabur janji tanpa perlu membuktikannya melalui fakta untuk menarik sokongan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulas penentangan berterusan pembangkang terhadap pelaksanaan GST bahawa pembangkang mempolitikkan isu itu tanpa 'berpijak di bumi yang nyata'.

“Jika kita tolak GST bermakna kita tolak lebih RM50 bilion setahun dari bajet (RM260 bilion) sekali gus kerajaan memang tidak boleh berfungsi dan berkhidmat kepada rakyat.

“RM260 bilion tolak RM50 bilion tinggal RM210 bilion sahaja. Hendak bayar elaun penjawat awam pun tidak cukup. Perkiraan pembangkang bersifat politik. Bukan kenyataan dan relevan,” katanya.

Najib yang juga Presiden Umno berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, kelmarin.

Mengulas lanjut tindakan pembangkang mempolitikkan isu GST demi kepentingan politik mereka, Najib berkata, rakyat perlu berwaspada apabila dijanjikan dengan pelbagai gula-gula dari pembangkang untuk meraih sokongan politik.

Jelasnya, kerajaan perlu berdiri di atas sumber dan hasil kukuh seperti GST untuk bangunkan negara seperti dalam bidang keselamatan, kesihatan dan pendidikan.

“Mereka boleh janji sesuatu yang mana mereka tidak perlu buktikan melalui fakta sebenar atau tidak berpijak di bumi yang nyata. Mereka hanya cakap apa mereka suka asalkan apa mereka cakap itu orang sedap dengar. Apa yang mereka cakap hanya untuk mengejar sokongan semata-mata,” katanya.

Turut hadir, Naib Presiden parti yang menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ketua-ketua sayap.

Mengulas lanjut Najib berkata, ia lebih beri tumpuan usaha menjayakan himpunan raksasa sempena sambutan ulang tahun kE-71 Umno di Stadium Bukit Jalil pada 11 Mei ini.

Katanya, kira-kira 100,000 ahli akan membanjiri stadium itu dengan ‘lautan merah’ sebagai tanda komitmen tinggi anggota parti untuk terus berjuang mencapai kejayaan sehingga PRU14.

Dalam pada itu, Najib berkata, mesyuarat cawangan yang sedang berlangsung sejak dimulakan 17 Mac lalu berjalan dengan baik malah bilangan ahli Umno juga semakin meningkat tahun ini, namun tidak mendedahkan jumlah sebenar.

Najib berkata, mesyuarat itu juga bincang hal berkaitan persiapan PRU14, politik dan ekonomi.






0 comments:

share2