Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 18, 2017

KATA-KATA LAMA KEKAL MERENTAS ZAMAN


Kata-kata lama kekal merentas zaman


Sesuatu yang hilang selalunya akan dikenang. Kita sedar akan hal itu, malah sasterawan dan ahli falsafah pun pernah menyebutkannya.

Jika yang hilang itu milik peribadi, maka seseorang sahaja yang kesal dan bersedih, tetapi bagaimana halnya jika yang hilang itu ialah nilai-nilai budaya kita?

Teringat sewaktu saya menghadiri sebuah wacana yang dianjurkan di ibu kota pada tahun lepas. Salah seorang panel yang terlibat dalam wacana itu ialah Tan Sri Zaleha Ismail.

Pada waktu itu beliau ada menyebut suatu perkataan yang begitu jarang didengari hari ini iaitu kutub khanah apabila merujuk kepada perpustakaan.

Saya bersama teman yang lain serentak memberikan respons yang sama, “Eh! Dah lama tidak mendengar perkataan itu”.

Kata-kata itu tidak muncul di akhbar atau di majalah, kecuali mungkin terlalu jarang. Saya juga teringat akan perkataan terpemanai.

Perkataan ini digunakan dahulu berikutan dengan perkataan TIDAK. Contoh ayat yang menggunakan kata ini ialah:

Burung yang terbang di angkasa tidak terpemanai banyaknya.

Ayat itu bermaksud menyatakan jumlah burung yang tidak terdaya dikira. Perkataan ini kerap digunakan dalam hikayat, misalnya Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Muda, dan lain-lain.

Kata itu tidak pernah diucapkan untuk maksud positif. Ini bererti, hanya tidak terpemanai yang wujud. Tidak terdapat ayat: Kerbau di padang itu terpemanai.

Saya berasa sayang akan perkataan tersebut. Eloklah perkataan itu digunakan semula untuk menyatakan jumlah yang besar, iaitu apabila tiada sesiapa yang dapat memastikan jumlahnya.

Ini membawa erti, orang tua-tua kita dahulu sudah mempunyai perkataan untuk menyatakan jumlah yang tidak dapat dikira kerana terlalu banyak.

Setelah berfikir tentang kata itu, muncul lagi kata-kata lain di fikiran saya. Perkataan kutub khanah misalnya.

Sekarang kita sudah mempunyai perkataan perpustakaan, tetapi dalam buku-buku lama, library ialah kutub khanah.

Perkataan perpustakaan ada lima suku kata, manakala kutub khanah terdiri daripada empat suku kata sahaja. Seeloknya janganlah kita tinggalkan perkataan ini dalam penggunaan. Gunakan perkataan kutub khanah sebagai pilihan, sebagaimana kita menggunakan kata-kata seperti yang lain.

Sekarang kita telah lama menggunakan perkataan Sejarah. Oleh sebab kita tidak menghiraukan perkataan yang terdahulu maka perkataan Tawarikh tidak dikenali oleh anak-anak muda kita kini. Perkataan Tawarikh hadir dalam dekad 1960-an dan sebelumnya. 

Perkataan Tawarikh hilang bersama-sama rangkai kata Ilmu Alam, iaitu nama-nama subjek di sekolah.

Ilmu Alam kini disebut Geografi, iaitu kata pinjaman. Seperti yang telah disebutkan, nama Geografi boleh digunakan tetapi nama yang lepas, iaitu Ilmu Alam janganlah dihapuskan dalam penggunaan.

Ilmu lain yang ada di sekolah ialah Ilmu Hisab. Sekarang kita tidak lagi menyebutkan istilah itu.

Perkataan hisab bermakna hitung, jadi Ilmu Hisab ialah ilmu menghitung. Orang Melayu terdahulu telah dapat mengemukakan istilah tersebut, tetapi kini kita menggunakan istilah pinjaman, iaitu Matematik. Dalam Ilmu Hisab di tahap awal ada campur, tolak, darab dan bahagi. Perkataan darab itu telah hilang kini, dan anak-anak kita menggunakan perkataan kali, misalnya 3 kali dua ialah enam.

Saya mempunyai pandangan sedemikian dan pastinya tidak mustahil ada juga di luar sana yang mempunyai pandangan seperti saya.

Apa pun, kita hendaklah melihat kembali kata-kata lama ini sebagai suatu wadah yang kekal merentasi zaman sebagaimana kita melihat dan juga menghargai aspek-aspek lain dalam budaya kita.

* Datuk Mas Ermieyati Samsudin ialah Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan


0 comments:

share2