Kuala Ketil - Hasrat lelaki England, Muhammad Yusof Abdul Qarim,27 atau gelarannya Mat Cop untuk bertemu rakan senegaranya berloghat Terengganu, Kareef Daniel Abdullah atau dikenali Mat Dan belum kesampaian.
Menurutnya, pertemuan itu diharap dapat direalisasikan memandangkan ada nasihat ingin ditagih daripada selebriti berkenaan.
"Moral semakin lemah dan motivasi terasa kurang sejak beberapa bulan lalu. Diharap pertemuan bersamanya dapat menjadi realiti suatu hari nanti. Saya perlukan semangat dan khidmat nasihat darinya.
"Ada banyak sebab mengapa saya memilih bertemu Mat Dan, antaranya dia adalah lelaki yang berasal England dan turut memeluk Islam. Berbanding orang tempatan, dia mungkin lebih memahami masalah dihadapi saya," katanya.
Menurutnya, tidak timbul soal menumpang populariti selebriti tersebut seandainya pertemuan itu direalisasikan.
"Tidak pernah terlintas mahu jadi terkenal, cukup jika dapat bersalaman dan berbual-bual dengan Mat Dan, banyak pengajaran ingin saya ambil daripadanya, itu sahaja,"katanya.
Mat Cop yang baki visa pelajar akan tamat bulan Oktober tahun ini mengakui mengikuti perkembangan selebritinya itu melalui Facebook dan Instagram sejak awal bulan ini.
Bagaimanapun katanya, dia belum memulakan teguran melalui kedua-dua laman sosial itu kerana masih menunggu reaksi daripada Mat Dan.
"Saya belum pasti sama ada Mat Dan sudah mengetahui niat saya mahu berjumpanya selepas kisah saya disiarkan Sinar Harian beberapa minggu lalu. Harap ada reaksi daripada Mat Dan suatu hari nanti,"katanya.
Sementara itu, bapa angkat, Mohd Zukhi Ghazali berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kunjungan daripada Mat Dan ke sini.
"Jika Mat Dan setuju datang ke Kuala Ketil, saya akan atur satu pertemuan di antara mereka berdua. Tetapi jika mahu bertemu di Terengganu atau di negeri lain sekalipun tidak ada masalah.
"Saya juga ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang yang sudi menyalurkan dana bagi menampung kehidupan Mat Cop di sini. Hanya ALLAH mampu balas jasa baik kalian,"katanya.
Katanya lagi, perkembangan positif mula ditunjukkan Mat Cop selepas beberapa bulan bersedih akibat kehilangan datuk serta berjauhan dengan ahli keluarga.
"Kesedihannya tidak lagi seperti awal kehilangan datuknya, semangatnya menuntut ilmu juga sedikit pulih. Tetapi keadaan pasti lebih berbeza jika dapat ditemukan Mat Cop dan Mat Dan,"katanya.
Mat Cop atau nama sebelum memeluk Islam, Matthew Keily mula hijrah ke Kuala Ketil untuk menuntut ilmu kira-kira enam bulan lalu.
Sebelum ke Kuala Ketil, anak sulung dari dua beradik itu pernah berkelana ke beberapa negeri lain di semenanjung bersama jemaah tabligh.
Sinar Harian 1 Mac lalu melaporkan kisah Mat Cop yang menaruh harapan bertemu Mat Dan.
0 comments:
Post a Comment