Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 20, 2016

TANAM PADI DI HALAMAN RUMAH

Tanam padi depan rumah



PASIR PANJANG - Rindu dengan suasana sawah padi mendorong seorang suri rumah menanam padi di hadapan rumahnya di Kampung Bukit Tembok, Pasir Panjang.

Inchum Mohd Yunus, 61, berkata, dia membesar dengan membantu ibu bapanya di bendang sawah dan sejak akhir-akhir ini dia sangat merindui suasana berkenaan.

Menurutnya, padi berkenaan di tanam di sawah mini dengan empat petak keseluruhannya, dan biar pun jumlah padi ditanam tidak banyak namun diharap dapat mengubati kerinduannya melakukan rutin pesawah.

"Sebenarnya saya juga rindu nak makan emping padi. Tekak ni dah lama tak makan emping padi, nak cari sekarang pun susah. Jadi saya tanam lah sendiri padi depan rumah," katanya.

Inchum berkata, kawasan Bukit Tembok dan sekitarnya dahulu memang asalnya adalah bendang padi.

"Penduduk di sini memang pesawah, emak dan ayah saya sendiri ada 1.6 hektar sawah.

"Tapi sekitar tahun 1980an, aktiviti pertanian ni semakin kurang sebab punca air dah tak banyak dan menyebabkan padi tak dapat tumbuh dengan baik. Akhirnya aktiviti tanam padi tidak wujud lagi di sini digantikan dengan pertanian kelapa sawit," katanya.

Ibu kepada tujuh anak ini berkata, beberapa tahun lepas dia juga telah menanam padi di hadapan rumahnya.

"Padinya jadi, tapi masa tu tak ada lesung kayu nak ketuk padi tu, jadi makcik bagi je lah ayam makan. Tapi yang tanam kali ini, harap-harap menjadi juga macam dulu tu, dan boleh dikutip hasilnya sebab mak cik dah ada lesungnya.

"Baru semalam (kelmarin) dapat lesung dari kawan yang duduk kat kampung sebelah (Kampung Sungai Raya), kebetulan makcik ternampak ada kat rumah dia.

"Dia ni generasi ketiga, baya anak-anak mak cik la. Dulu mak ayahnya pun pesawah, sekarang sawah dah tak ada jadi terbiar macam tu je lesungnya, mak cik minta dan dia bagi," katanya.

Inchum berkata, padi yang di tanam diambil benihnya dari Kuala Pilah.

"Sawah padi ni, mak cik guna air bilas baju dari mesin basuh je. Kira macam kitar semula juga la, guna air bilasan terakhir, bukan la yang ada sabun tu.

"Padi ni baru tanam dua minggu, dan nampaknya tumbuh subur. Insya-ALLAH dalam masa empat ke lima bulan lagi, ada la hasilnya," katanya.

Selain padi, Inchum juga sangat berbudi kepada tanah apabila dia turut menanam pelbagai jenis sayuran antaranya kubis, cili, bayam dan peria.

Benih sayuran itu diperolehi hasil bantuan Jabatan Pertanian Daerah Port Dickson.




0 comments:

share2