Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 19, 2015

PM AMBIL LANGKAH PROAKTIF JELASKAN SEGALA ISU - KHAIRY



Putrajaya – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengambil langkah proaktif dengan memberi penjelasan terperinci termasuk secara bertulis terhadap segala dakwaan yang dilemparkan terhadap beliau dan kerajaan.

Ketua Pergerak­an Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, justeru, diharapkan penjelasan tersebut dapat memuaskan hati pelbagai pihak yang telah menyuarakan isu-isu berbangkit itu sehingga menjadi polemik di negara ini.

Beliau berkata, an­ta­ranya isu tuduhan mengenai pesawat ke­rajaan serta kes pembunuhan rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang semuanya telah dijelaskan secara terperinci oleh Perdana Menteri dan perkara itu sepatutnya tidak lagi dibangkitkan selepas ini.

“Saya juga berharap mereka yang membangkitkan isu-isu ini berpuas hati dengan segala penjelasan yang diberikan oleh Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Berjaya Corporation Berhad di sini semalam.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh serta Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching.

Mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Khairy berkata, semua pihak perlu bersabar menunggu Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membuat siasatan berhubung pelbagai dakwaan yang dilemparkan.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, adalah tidak adil bagi sesetengah pihak menyalahkan kerajaan sebelum fakta sebenar dikemukakan Ketua Audit Negara dan PAC yang telah diamanahkan untuk menyiasat perkara tersebut.

Mengulas mengenai dakwaan Najib diberikan tempoh sebulan oleh pemimpin UMNO untuk menyelesaikan isu 1MDB, Khairy berkata, perkara ter­sebut tidak benar manakala perjumpaan dengan Perdana Menteri baru-baru ini adalah bertujuan untuk menyelesaikan masalah dan tiada sebarang tempoh diberikan.

Berhubung kese­diaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk berdebat dengan Najib berhubung isu 1MDB, Khairy berkata, perkara itu tidak perlu kerana Perdana Menteri telah memberikan segala penjelasan berhubung isu tersebut.

Sumber

0 comments:

share2