KUALA LUMPUR, 2 Mac -- Berikut adalah teks ucapan khas
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertajuk 'Rayuan Kepada Rakyat
Malaysia' yang disiarkan oleh stesen televisyen malam ini.
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Wahai saudaraku rakyat Malaysia yang dihormati.
Hampir seminggu negara kita menghadapi kemelut politik yang
membimbangkan. Kemelut ini berlaku apabila mantan Perdana Menteri meletakkan
jawatan.
Ini menyebabkan jawatan Perdana Menteri kosong dan perlu
diisi.
Menurut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, Duli Yang Maha
Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana
Menteri baharu yang mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
Selaras dengan peruntukan ini, Duli Yang Maha Mulia Tuanku
telah berkenan melantik saya sebagai Perdana Menteri. Ini adalah kebijaksanaan
Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Ketua Negara yang menjalankan fungsi
baginda selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Saya sedar bahawa pelantikan saya bukanlah melalui pilihan
raya. Sebaliknya, saya dilantik setelah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli
Dewan Rakyat. Ini adalah satu amalan yang dibenarkan oleh Perlembagaan
Persekutuan dan selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen di Malaysia.
Setelah melalui kemelut politik yang melanda negara kita
sejak seminggu yang lalu, saya tahu saudara-saudari tentunya mahu negara kita
kembali berada di landasan yang betul. Saudara-saudari pastinya tidak mahu
negara kita diheret ke dalam kemelut politik yang lebih besar.
Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang saya hormati,
Saya tidak berniat untuk menimbulkan konfrontasi dengan
sesiapa. Saya cuma ingin memberikan sedikit penjelasan mengenai perkara yang
sebenarnya berlaku supaya keikhlasan saya tidak dipersoalkan.
Saya tidak mengidamkan jawatan Perdana Menteri. Saya hanya
tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon Perdana Menteri
tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
Di peringkat awal, saya dan semua ahli Dewan Rakyat daripada
parti Bersatu telah memberikan sokongan padu kepada Tun Dr Mahathir sebagai
Perdana Menteri. Tetapi malangnya beliau gagal mendapatkan sokongan majoriti
daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain. Perkara ini telah dijelaskan dalam
kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara pada 28 Februari 2020.
Oleh yang demikian, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong telah mengambil keputusan yang bijaksana dengan menjemput ketua-ketua
parti mengemukakan seorang calon lain yang berkemungkinan mendapat kepercayaan
majoriti ahli Dewan Rakyat.
Ketika itulah nama saya sebagai calon Perdana Menteri telah
dikemukakan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat daripada parti BERSATU dan ketua-ketua
parti yang lain. Menurut mereka saya mempunyai sokongan majoriti.
Saya mengambil masa untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum
membuat keputusan.
Apa pilihan yang saya ada? Terus menyokong Tun Dr Mahathir
yang tidak mempunyai sokongan majoriti atau menerima pencalonan sebagai Perdana
Menteri?
Jika saya terus menyokong Tun Dr Mahathir, kemelut politik
akan berpanjangan. Berkemungkinan Parlimen terpaksa dibubarkan dan pilihan raya
umum perlu diadakan.
Saya sedar saudara dan saudari sudah letih dan la’ih dengan
kemelut politik yang berlaku.
Dalam keadaan ini, saya sebagai pemimpin mesti mencari jalan
penyelesaian. Saya tidak boleh membiarkan kemelut berpanjangan.
Kerana itu saya telah bertemu dengan Tun Dr Mahathir dan
meminta beliau menyokong saya. Dalam pertemuan yang disaksikan oleh dua orang
tokoh parti, beliau telah menyatakan bahawa beliau bersedia memberi laluan
kepada saya sekiranya saya mendapat sokongan majoriti. Perkara ini dinyatakan
oleh beliau sendiri dalam satu sidang akhbar pada 27 Februari 2020.
Dengan sokongan itu, saya telah menerima pencalonan saya
sebagai Perdana Menteri.
Saya tahu ada yang marah kepada saya. Seperti yang dijangka,
ada pihak yang menggelar saya pengkhianat. Dengarlah baik-baik. Saya bukanlah
pengkhianat.
Naluri saya jelas bahawa keberadaan saya di sini adalah
untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut.
Saya juga sedar bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah
kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah. Buat permulaan ini, saya
berjanji akan melantik anggota jemaah menteri dari kalangan individu yang
bersih, berintegriti dan berkaliber.
Kerajaan pimpinan saya juga akan memberi keutamaan kepada
usaha-usaha untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik.
Ini termasuk usaha-usaha untuk membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa
dengan meningkatkan penguatkuasaan dan memperkemaskan undang-undang, peraturan
dan amalan yang berkaitan.
Saya juga faham bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah
kerajaan yang prihatin dan cekap dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.
Saudara memerlukan wang untuk membeli barang keperluan
harian, membeli buku dan keperluan sekolah untuk anak-anak, membayar bil air,
letrik dan sewa rumah, membayar pinjaman kereta dan kediaman, serta lain-lain
keperluan untuk menyara kehidupan sekeluarga.
Saya juga tahu bahawa antara perkhidmatan yang paling
diperlukan oleh saudara dan saudari ialah perkhidmatan kesihatan yang
berkualiti dengan kos yang berpatutan. Ini juga akan menjadi keutamaan saya.
Dalam menghadapi wabak corona virus pada masa ini,
sama-samalah kita jaga kesihatan.
Saya juga sedar saudara dan saudari juga mahukan pendidikan
yang berkualiti untuk anak-anak. Bidang pendidikan amat dekat dengan jiwa saya.
Dengan pengalaman selama 6 tahun menjadi Menteri Pendidikan, saya berjanji akan
berusaha untuk melonjakkan lagi kualiti pendidikan negara. Saya akan pastikan
anak-anak kita mendapat taraf pendidikan yang setanding dengan negara-negara
maju. Usaha ini telah pun saya mulakan dahulu. InsyaAllah ianya akan
diperkukuhkan lagi pada masa hadapan.
Saya tahu bahawa saudara dan saudari mahukan sebuah negara
yang stabil, aman dan makmur. Sebuah negara yang menawarkan kehidupan yang
lebih baik untuk kita semua.
Kerajaan pimpinan saya akan memberi tumpuan kepada
pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang akan melonjakkan pertumbuhan
ekonomi negara dan merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat.
Marilah bersama-sama saya untuk bina semula negara kita dan kembalikan
kegemilangannya.
Saya adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dari
Perlis hingga ke Sabah. Baik saudara orang Melayu, saudara orang Cina, saudara
orang India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, orang asal, atau apa jua kaum
dan etnik, saya adalah Perdana Menteri saudara.
Samada saudara adalah petani, saudara nelayan, saudara
peniaga, saudara penjawat awam, saudara pekerja swasta, saya adalah Perdana
Menteri saudara.
Saya merayu agar saudara dan saudari memberikan sokongan padu
kepada saya untuk memikul amanah dan tanggungjawab besar ini.
Saya tawarkan jiwa dan raga saya untuk negara.
Berikan saya sedikit masa untuk menetapkan garis-garis utama
hala tuju kerajaan dan negara di bawah pentadbiran baharu ini yang insyaAllah
akan saya jelaskan kepada rakyat dalam masa terdekat.
Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada saudara dan
saudari yang telah menghadapi kemelut yang melanda negara dengan sabar dan
tenang.
Saya juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih
kepada Tun Dr Mahathir yang telah banyak berjasa kepada negara kita.
Bersatu teguh, bercerai roboh.
Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Ayuh, bersatulah kita demi tanah air tercinta.
Bismillahi tawakkaltu alaLLah Faiza azamta fa tawakkal
alaLLah
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum wa
rahmatullahi wa barakatuh.”
SUMBER -- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment