Jerantut yang terkenal dengan nama jolokan Bandar Taman Negara dipenuhi warna ungu apabila hampir 20,000 wanita membanjiri Padang FA sempena 1Million Women Purple Walk peringkat negeri semalam.
Para peserta mula membanjiri padang Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura untuk memulakan perjalanan kira-kira satu kilometer menuju ke Padang FA.
Program yang berlangsung serentak di seluruh negara itu diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob selain turut disertai pemimpin masyarakat, ketua-ketua jabatan kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan para pelajar sekolah.
Sebaik sahaja tiba di padang tersebut, semua peserta mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibawa secara langsung dari Putrajaya melalui skrin gergasi.
Adnan dalam ucapannya selepas itu telah menyeru golongan wanita terus maju setanding dengan lelaki sehingga menjawat jawatan tertinggi dalam sesebuah organisasi.
"Kita semua sedar bahawa peranan wanita pada hari ini adalah amat penting bagi pembangunan negara kerana keringat mereka dapat membantu semua pihak mencapai kejayaan dalam organisasi masing-masing.
"Saya kagum melihat ramai wanita yang semakin mencipta nama setanding dengan lelaki sehingga berjaya mencatat nama dalam jawatan tertinggi sama ada di jabatan kerajaan mahupun swasta," katanya program berkenaan dan 1Malaysia Komuniti Perwani (1MKP) di sini.
Yang turut hadir, isteri Menteri Besar, Datin Seri Junaini Kassim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail; ADUN Damak, Datuk Lau Lee dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO negeri, Datuk Rosni Zahari.
Adnan berkata, golongan wanita harus dihormati kerana jasa serta pengorbanan mereka terlalu banyak dan tidak dapat dinilai.
"Selain menggalas tanggungjawab penting dalam sesebuah organisasi, wanita merupakan insan yang bergelar ibu untuk mencorak masa depan anak-anak bagi melahirkan modal insan berjaya dalam semua aspek," ujarnya.
Menurut beliau, golongan wanita juga harus bersikap positif dan mampu berdikari sendiri dengan memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.
"Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan kepada golongan ini terutama bagi mereka yang berminat menceburi bidang perniagaan dengan khidmat nasihat serta sumber kewangan. Kita sendiri dapat melihat ramai wanita yang berjaya dalam perniagaan masing-masing," jelasnya.
Dalam pada itu, Adnan dan isteri turut meluangkan masa beramah mesra dan sempat merakamkan gambar bersama para peserta.
0 comments:
Post a Comment