Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 4, 2017

[KUANTAN] TAK PERNAH KESAL JAGA EMPAT ANAK OKU


Reda jaga empat anak OKU


Setiap ibu bapa pastinya menginginkan anak-anak yang dilahirkan sihat dan membesar dengan baik, namun sebagai manusia biasa, pasti perlu akur dengan ketentuan takdir.

Dugaan hidup terpaksa dilalui pesara kerajaan, Rohana Din, 56, apabila empat daripada enam cahaya mata mereka disahkan tidak normal, namun ia sedikit pun tidak membuatkannya patah semangat.

Sungguh pun empat anaknya iaitu Mohd Asran Asahari, 35; Nur Afifah, 32, Ahmad Firdaus, 26 dan Mohd Azad tidak seperti insan lain, tetapi mereka tetap ditatang bagaikan minyak yang penuh.

Rohana berkata, anak sulungnya, Mohd Asran dilahirkan tidak cukup bulan dan doktor sahkan anaknya itu akan mengalami dari masalah perkembangan dan pembesaran.

“Anak kedua, ketiga dan keempat pula lahir normal, tapi masa umur lima hingga enam tahun mereka selalu demam dan pengsan.

“Doktor juga sahkan tiga anak makcik ini tidak normal dan mengalami masalah pembelajaran,” katanya ketika ditemui di Kompleks Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kompleks Penyayang Kuantan.

Dia mengakui tidak dapat menafikan naluri sebagai ibu yang sedih dengan apa yang menimpa anak-anaknya, namun sokongan keluarga menghilangkan perasaan itu.

“Pada awalnya memang sedih kenangkan nasib yang menimpa kami, tapi lama-kelamaan perasaan tu hilang bila tengok mereka membesar dengan baik.

“Dari segi kesihatan, mereka tak alami apa-apa masalah, cuma dari segi fizikal sahajalah,” katanya.

Jelasnya, tidak pernah sesekali timbul perasaan kesal dalam diri apabila melahirkan anak-anak yang istimewa ini.

Dalam pada itu, Rohana menganggap ujian yang diberikan ini adalah untuk menguji kesabarannya dan sekiranya ia mampu menjaga anaknya sebaiknya, pasti ada ganjaran daripada ALLAH SWT.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran dalam membesarkan anaknya itu, Rohana memaklumkan sumbangan dan bantuan daripada agensi kerajaan mahupun orang ramai tidak pernah putus.

“Rezeki pun sentiasa ada. Alhamdulillah makcik pun selalu sihat untuk jaga anak-anak," katanya.


0 comments:

share2