Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 29, 2017

'SAYA NAMPAK PERCIKAN API...'


'Saya nampak percikan api...'


Sabak Bernam - Sekurang-kurangnya 20 peratus daripada bahagian depan kawasan kilang membuat palet plastik di Jalan Kabalakan di sini, musnah dalam kebakaran, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, kepulan asap tebal menyelubungi ruang udara apabila kilang seluas 6,000 meter persegi itu terjejas dalam kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam, Mohd Saufi Zakaria berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan pada jam 7.06 pagi.

"Operasi pemadaman melibatkan empat Balai Bomba dan Penyelamat iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Sekinchan dan Hutan Melintang ke lokasi.

"Kerja-kerja pemadaman dilakukan adalah untuk mengawal api daripada merebak ke stor berhampiran," katanya.

Beliau memberitahu, tiada mangsa dilaporkan berada di dalam bangunan yang terbakar.

Sementara itu, juruteknik kilang berkenaan, Mohd Hishamudin Sarman, 33, berkata, dia menyedari kebakaran itu ketika sedang meronda di dalam kilang kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

"Saya nampak percikan api dari wayar elektrik di bahagian bumbung kilang dan percikan itu mengenai mesin serta palet di lantai.

"Saya cuba padam dengan mengguna pili air kebakaran yang terdapat di kilang, namun ia terus merebak dengan pantas," katanya.

Mohd Hishamudin berkata, beliau kemudian meminta pengawal keselamatan bertugas, Adnan Jamal, 47, untuk menghubungi pasukan bomba serta memastikan tiada pekerja berada di dalam bangunan kilang itu.

Mohd Hishamudin berkata, kilang itu tidak beroperasi selama tiga hari hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan hanya dia dan Adnan ditugaskan untuk memastikan keselamatan kilang, namun tidak menyangka perkara itu berlaku.

"Saya amat cemas dan takut, namun untuk menyelamatkan kilang saya cuba sedaya upaya memadamkan kebakaran pada peringkat awal, tapi tak berjaya sebab kebakaran di bahagian bumbung," katanya.


0 comments:

share2