Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 29, 2017

'DOAKAN KAMI SELAMAT, DAPAT HULUR BANTUAN'


'Doakan kami selamat, dapat hulur bantuan’


Shah Alam – Semua masjid dan surau di seluruh negara disaran menganjurkan solat hajat dan bacaan Yasin buat delegasi Misi Kemanusiaan Food Flotilla For Myanmar yang akan memulakan pelayaran, 3 Februari ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, solat hajat dan bacaan Yasin tersebut merupakan simbol sokongan masyarakat Islam di negara ini bagi mendoakan keselamatan peserta misi selama 18 hari tersebut.

“Selain itu, surat juga telah dihantar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi meminta Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) menguar-uarkan mengenai solat hajat dan bacaan Yasin serentak ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menyentuh mengenai misi tersebut, Mohd Azmi berkata, perjalanan kali ini dilihat tidak mudah memandangkan ia mengambil masa agak lama untuk menuju ke destinasi ditetapkan.

Walaupun telah mendapat keizinan untuk melalui sempadan negara Myanmar, Mohd Azmi berkata, pihaknya berharap agar kerajaan negara itu dapat mempertimbangkan untuk memberi kebenaran kepada pihaknya bagi menurunkan serta mengagihkan bantuan-bantuan dibawa kepada masyarakat Rohingya tersebut.

“Buat masa ini, kawasan tumpuan misi di Myammar adalah di Sittwe dan Maungdaw.

“Di kem pelarian Sittwe ada lebih kurang 150,000 orang pelarian manakala di Maungdaw pula terdapat kira-kira 90,000 orang pelarian di sana yang kehilangan tempat berteduh,” katanya.

Berikutan terdapat juga pelarian yang melarikan diri ke Teknaf, Bangladesh, Mohd Azmi berkata, rombongan misi itu akan turut singgah ke destinasi terbabit bagi menyalurkan bantuan kepada pelarian di sana.

Mohd Azmi berkata, pihaknya telah menerima respons positif daripada kerajaan Bangladesh yang memberikan kebenaran kepada rombongan misi kali ini untuk menurunkan bantuan-bantuan yang dibawa tersebut.

“Di Teknaf, terdapat kira-kira 70,000 mangsa pelarian dan kita akan berada selama tiga ke lima hari di sana untuk misi kemanusiaan ini,” katanya.

Katanya, peserta misi akan melaporkan diri pada 2 Februari bagi menyesuaikan diri dengan kapal sebelum memulakan pelayaran pada keesokan harinya sekitar jam 3 petang.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan 1,000 tan bantuan akan dibawa dalam misi kali ini dengan penglibatan 14 hingga 17 buah negara meliputi 240 delegasi serta 40 NGO dalam serta luar negara.

“Barang bekalan yang kita bawa dari sini adalah beras, tepung, kacang dal, barang-barang kebersihan diri, selimut dan ubatan.

“Ada juga barangan yang akan dibeli dari sana untuk disalurkan kepada mangsa pelarian,” katanya.


0 comments:

share2