Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 17, 2017

[ROMPIN] PEMBAKARAN MERCUN LANGGAR UNDANG-UNDANG


Jamaludin (tengah) bergambar kenangan


Polis menegaskan bahawa aktiviti pembakaran mercun adalah melanggar undang-undang melainkan majlis tertentu yang dibenarkan berdasarkan permohonan permit yang dibuat.

Bagaimana pun, tiada permit diberikan untuk tujuan individu dan masyarakat digesa mengambil iktibar berdasarkan kejadian-kejadian yang berlaku sebelum ini yang banyak mendatangkan kecederaan.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Pahang, Senior Asisten Komisioner Datuk Jamaludin Kudin, berkata, aktiviti membakar mercun sukar untuk dielak namun pihaknya akan sentiasa memberi makluman berkaitan kesalahan melakukannya.

Menurutnya, aktiviti yang biasa dilakukan ketika musim perayaan itu pasti akan berlaku dan sukar ditahan kerana ia berlaku begitu cepat.

"Kita akan sentiasa memberi makluman kepada orang awam bahawa pembakaran mercun adalah melanggar undang-undang dan masyarakat perlu mengambil iktibar atas banyak kejadian buruk akibat bermain mercun sebelum ini.

"Bagi tujuan majlis tertentu boleh mohon permit dengan polis dan kita akan pantau siapa mengendalinya, aspek teknikal dan sebagainya, namun pada saya eloklah tiada terus," katanya kepada pemberita, semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah Rompin DSP Muhammad Aidil Roneh Abdullah dengan DSP Azli Mohd Noor di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, semalam.

Dalam pada itu, sempena Tahun Baru Cina pada 28 dan 29 Januari depan, selain ops selamat yang akan bermula seminggu dan selepas perayaan itu, beliau turut menyarankan masyarakat yang pulang ke kampung supaya maklum kepada balai atau IPD berhampiran.

Beliau berkata, berdasarkan makluman itu polis boleh mengatur pergerakan supaya mampu membentuk kawasan berdasarkan kelompok dan rondaan.

"Sebelum tinggalkan rumah atau premis saya sarankan supaya periksa aspek keselamatan, pastikan dahulu agar dapat elak daripada jenayah mudah berlaku.

"Jangan letak tangga depan rumah, berhenti memesan penghantaran susu dan surat khabar supaya dapat elak dihidu penjenayah rumah kosong. Munasabah juga pasang timer supaya rumah sentiasa ada lampu agar rumah nampak seperti ada orang," katanya.


0 comments:

share2