Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 3, 2017

[KUANTAN] BOMBA SELAMATKAN PEMUDA SESAT DALAM HUTAN

Bomba selamatkan pemuda tersesat dalam hutan



Seorang pemuda yang tersesat ketika mendaki Bukit Pelindung, di sini, lewat petang kelmarin, berjaya ditemui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang kira-kira jam 9.33 malam, semalam.

Mangsa, Mohd Zulfadly Mohamad, 27, dilaporkan memasuki kawasan hutan berkenaan seorang diri dan dikatakan gagal mencari jalan keluar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat JBPM Kuantan, Kamerul Bieza Mohamed Kassim, berkata, 15 anggota dan pegawai dikejarkan ke Bukit Pelindung untuk mencari dan menyelamat mangsa sebaik menerima panggilan kira-kira jam 7.30 malam.

"Mangsa yang berasal dari Bukit Goh, di sini segera menghubungi JBPM untuk mendapatkan bantuan setelah beberapa jam gagal mencari jalan keluar.

"Usaha mencari dan menyelamat mangsa dilakukan dalam keadaan yang gelap dan ketika itu hujan lebat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pagi tadi.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya bertindak mengecilkan saiz skala kawasan pencarian bagi memudahkan operasi.

"Dia ditemui dalam keadaan selamat dan setelah dibawa keluar pemeriksaan kesihatan dilakukan sebelum dibenarkan pulang.

"Bermula November hingga Mac 2017, semua kegiatan mendaki dan riadah di kawasan hutan simpan serta rekreasi di seluruh Pahang ditutup kerana musim tengkujuh," katanya.




0 comments:

share2