Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 3, 2017

LELAKI DERITA BARAH PARU-PARU GANTUNG DIRI


Gantung Diri


Ampang – Seorang lelaki yang dipercayai tidak sanggup menanggung kesakitan kesan rawatan barah paru-paru dideritainya ditemui mati tergantung di ruang tamu rumahnya di Pandan Indah dekat sini, jam 12.05 tengah malam semalam.

Cheong Ho Guan ditemui mati tergantung oleh isterinya.

Seorang anak mangsa, Cheong See Hong, 36, berkata, bapanya sudah beberapa kali memberitahu mahu menamatkan riwayatnya selepas disahkan menghidap barah paru-paru, empat bulan lalu.

Katanya, bapanya memberitahu dia mahu membunuh diri kerana tidak tahan dengan kesakitan yang dialami akibat rawatan dilalui.

“Kami menasihatinya supaya bersabar. Selepas itu, dia mula menerima kenyataan dan tidak menunjukkan sebarang tingkah laku ganjil.

“Bagaimanapun, empat hari lalu, bapa cuba memakan ubat dengan dos berlebihan namun ia disedari ibu. Kami sempat menahannya daripada melakukan perkara terbabit,” katanya.

Menurut See Hong, sebelum ditemui tergantung, bapa dan ibunya keluar bersama namun bapanya tiba-tiba menghilangkan diri.

Katanya, ibunya menyangka bapanya bertemu rakan dan dia terus pulang ke rumah.

“Sebaik masuk ke rumah, ibu terkejut apabila mendapati bapa menggantung diri di ruang tamu. Ibu terus menghubungi kami memaklumkan kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh mangsa. Mayatnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi.


0 comments:

share2