Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 12, 2017

[KUANTAN] BAYI ALAMI MASALAH PERNAFASAN KRONIK


Bayi alami masalah pernafasan kronik


Sepasang suami isteri di sini terpaksa menerima hakikat apabila anak mereka berusia sembilan bulan disahkan menghadapi masalah pernafasan kronik.

Walaupun berdepan ujian tersebut, Nasarrudin Abdul Ghani, 43, dan Siti Sarina Sikh Wazir, 33, reda dan menerima ketentuan itu dengan hati terbuka.

Menurut Siti Sarina, ketika Nuraqilah Hazirah dilahirkan, bayinya itu normal, namun selepas beberapa jam doktor mengesahkan dia mengalami masalah pernafasan.

“Mula-mula saya ingat masalah pernafasan biasa, tapi bila doktor periksa lanjut, rupanya salur pernafasan anak saya tak normal.

“Masa tu saya lihat anak saya macam tak cukup nafas sampai badannya jadi warna biru,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ubai di sini, semalam.

Menurutnya, doktor yang merawat anaknya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini memaklumkan salur pernafasan Nuraqilah Hazirah dihalang lapisan tulang sehingga menyebabkan dia tidak mampu bernafas seperti orang lain.

Tambahnya, disebabkan itu, anaknya tidak boleh bernafas sempurna dan terpaksa menjalani tiga kali pembedahan untuk membetulkan lapisan tulang yang menghalang pernafasan itu.

“Sepanjang enam bulan di HTAA, alat bantuan pernafasan sentiasa dipasang bagi memastikan oksigen sentiasa mencukupi,” katanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata, anak bongsunya turut mengalami masalah tumbesaran terbantut kemungkinan disebabkan penyakit berkenaan.

Bagaimanapun, Siti Sarina bersyukur kerana keadaannya kini semakin baik selepas pembedahan, namun dia perlu berada dalam pemerhatian doktor sehingga berusia tujuh tahun.

“Setiap bulan juga dia perlu berjumpa dengan doktor untuk pantau kesihatannya. Malah anak saya tak boleh terlalu terdedah kepada persekitaran kerana mudah dijangkiti penyakit,” katanya.

Katanya, akibat penyakitnya itu, Nuraqilah Hazirah perlu minum susu formula khas .

“Kos susu, makanan tumbesaran dan perubatannya setiap bulan mencecah RM800. Gaji suami yang bekerja sendiri tak mampu tanggung,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke nombor akaun Maybank (156235128185) atas nama Nasarrudin Abdul Ghani.

0 comments:

share2