Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 20, 2014

MAIS BAGAIKAN ANJING BERCAWAT EKOR




Apabila penganjur program I Want To Touch A Dog mendakwa ia mendapat restu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi mendakan program mesra anjing semalam, ia sekadar membuktikan bahawa para pentadbir Majlis tersebut yang kebanyakannya merupakan penyokong kuat Pas sudah berada di bawah telunjuk DAP.

Tidak ada sebab yang munasabah yang langsung untuk MAIS memberi restu kepada program pegang dan peluk anjing ini. Oleh kerana sehingga hari ini MAIS tidak menafikan kenyataan penganjur tersebut maka kemungkinan besar benarlah restu itu.

Kita boleh berbahas berjam-jam lamanya mengenai hukum menyentuh anjing ini, namun ianya tidak menyelesaikan isu sokongan Mais kepada kempen pegang anjing ini.

Yang menyokong kempen ini sebagai sesuatu yang mulia kerana untuk memulihkan stigma benci anjing di kalangan orang Islam sebenarnya menghina majoriti umat Islam di negara ini. Majoriti kami tidak pernah benci anjing mahu pun mendera anjing. Kami hanya tidak membela anjing sebagai binatang peliharaan kerana dilarang oleh agama kami. Kami tidak menyentuh anjing tanpa sebab kerana ia merupakan ajaran agama kami.

Kami juga menjauhi anjing kerana agama kami telah meletakkan syarat supaya melakukan acara pembersihan tertentu (sertu) jika bersentuh dengan anjing dalam keadaan basah atau dijilat anjing tersebut. Dalam keadaan kami perlu solat 5 kali sehari, wajarlah kami tidak mendekati anjing sesuka hati.

Ini samalah seperti kami tidak mendekati Harimau kerana takut dibaham atau menjauhi diri dari ular kerana takut dipatuk. Kami juga tidak memeluk ayam, itik, kambing, lembu dan kerbau. Ini bukan bermakna kami membenci atau mahu mendera binatang-binatang tersebut.

Kempen ini memberi imej yang sangat buruk kepada muslim di negara ini. Ia seolah-olah orang Islam di negara ini sering menganiaya dan mendera anjing sehinggakan perlu satu kempen sentuh, pegang dan peluk anjing bagi mengubah tabiat buruk orang Islam.

Hakikatnya, anjing lebih banyak didera dan dianiaya oleh orang bukan Islam terutamanya kaum Cina kerana mereka sahaja yang banyak memelihara anjing. Kita hampir tidak pernah mendengar langsung orang Islam membunuh atau mendera anjing sama ada secara fizikal atau mental.

Justeru apakah tujuan kempen ini?

Alasan kempen ini kononnya untuk mendidik orang Islam megenai cara menyayangi anjing sebagai binatang ciptaan Allah adalah alasan dangkal yang diterima bulat-bulat oleh pentadbir MAIS.

Kempen ini bukan mahu memberitahu orang Islam mengenai anjing, tetapi lebih kepada mahu meruntuhkan sempadan moral orang Islam di negara ini.

Satu demi satu sempadan moral dan akal orang Islam di negara ini diruntuhkan seperti mana mereka mahu menukar perkataan Tuhan kepada Allah dalam bible bahasa Melayu, dan menerima orang bukan Islam sebagai pemimpin nombor satu (lihat penyertaan Melayu bertudung dalam DAP) dan kebebasan menukar agama Islam kepada agama lain sesuka hati adalah hak asasi.

Apabila menonton sandiwara “I want to touch a dog” semalam, ia menunjukkan betapa mudahnya Melayu Islam di negara ini, termasuk ustaz-ustaz di Mais, dimanpulasi dan ditipu oleh orang lain semata-mata kerana mahu menunjukkan Islam itu agama yang “cool”.

Berselindung di sebalik slogan “Islam itu mudah”, “Islam itu sayang semua binatang”, “semua binatang itu ciptaan Allah”, kumpulan ini berjaya meruntuhkan satu lagi sempadan moral orang Islam di negara ini.

Kejayaan mereka menjadikan sebahagian orang bertudung seumpama zombie dan memeluk anjing secara terbuka untuk diambil gambar oleh kaum Cina wajar diberi tabik hormat. Di Selangor hari ini lebih mudah memegang dan memeluk anjing dari berpoligami. Itulah makna Islam di Malaysia hari ini.

Jika benar MAIS merestui program ini, maka MAIS hari ini pilihlah sama ada mahu menjadi “anjing tiada bercawat ekor” (sesuatu yang hina dan tiada berguna) atau membuang diri menjadi seperti “anjing bercawat ekor” (Pergi atau menghindar kerana malu dan terhina).





0 comments:

share2