Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 12, 2017

`HARAP ADA PERUNTUKAN TAMBAHAN'


‘Harap ada peruntukan tambahan’
Ismail meluangkan masa pada Program Ziarah Umno Bahagian dan Pusat Perkhidmatan Parlimen Maran.


Kerajaan diminta meluluskan peruntukan tambahan bagi menaik taraf laluan dari Pekan Awah ke tol Chenor untuk kepentingan kira-kira 40,000 pengguna laluan itu hingga ke Bandar Tun Razak Jengka.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM250 juta bagi projek menaik taraf jalan sepanjang kira-kira 35 kilometer daripada tol Chenor ke Bandar Tun Razak Jengka, yang dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan tahun ini.

Bagaimanapun katanya, laluan jalan dari Pekan Awah ke tol Chenor yang berjarak 15 kilometer itu juga adalah laluan sama yang sepatutnya diberikan peruntukan tambahan.

“Jadi kita harap jalan itu juga dapat dinaik taraf. Begitu pun, rakyat dan pengguna berterima kasih atas keprihatinan kerajaan yang meluluskan peruntukan tersebut.

“Kerja-kerja menaik taraf dijadualkan bermula pada Februari dan dijangka siap pada 31 Ogos 2020 jika tiada sebarang halangan,” katanya.

Menurutnya, projek jalan tersebut sememangnya dinanti-nantikan penduduk kerana ia mampu merangsang pembangunan ekonomi, sosial, dan pendidikan tinggi di negeri ini khususnya di Bandar Tun Razak Jengka dan kawasan sekitarnya.

“Kerajaan sebelum ini pun telah lulus peruntukan segera sebanyak RM145 juta bagi pembesaran jalan tersebut. Manakala tempoh lima tahun ini, sebanyak RM250 juta pula telah diluluskan bagi tujuan sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada pesakit kronik, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) pada program Ziarah Umno Bahagian dan Pusat Perkhidmatan Ahli Parlimen Maran di rancangan Felda kawasan Parlimen Maran di sini.


0 comments:

share2