Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 26, 2016

[KUANTAN] USAHA TINGKAT KUTIPAN ZAKAT


Usaha tingkat kutipan zakat


Pahang bakal melaksanakan sistem taksiran zakat secara atas talian terhadap kakitangan kerajaan dan swasta berpendapatan tetap bermula tahun hadapan.

Sistem mirip kepada e-filing itu dilihat lebih muda dan mesra pembayar zakat dan mampu untuk meningkatkan kadar kutipan daripada golongan tersebut.

Pengurus Besar Kanan, Pusat Zakat Pahang, Datuk Halidan Md Daud berkata, sistem itu kini sudah 60 peratus siap dan dijangka boleh digunakan untuk percubaan tahun hadapan.

“Kita dalam proses kemas kini sistem ini supaya semuanya lancar sebelum dilaksanakan.

“Maksudnya di sini, kakitangan yang terlibat diwajibkan untuk membuat taksiran pendapatan dan kita akan kenal pasti sama ada pendapatan mereka itu layak dizakatkan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis penyerahan Zakat Korporat Anak Syarikat Telekom Malaysia (TM), Goverment Intergrated Telecommunication Network (GITN) Sdn Bhd di Ibu Pejabat Pusat Zakat Pahang di sini.

Dalam majlis itu, GITN Sdn Bhd membayar zakat berjumlah RM100,000 yang diserahkan Pengurus Besar TM Pahang, Zulfikri Hashim.

Hadir sama, Pengurus TM Pahang, Mazlan Ali dan Normah Mamat serta pengurus GITN Sdn Bhd, Mohd Rashid Mohamad.

Halidan berkata, daripada 55,000 pekerja yang membuat bayaran zakat pendapatan di negeri ini, 29,000 daripadanya didapati tidak pernah berubah jumlah pembayaran zakat mereka sejak tiga tahun lalu.

“Kita percaya dalam kalangan mereka itu ada yang sudah berlaku kenaikan gaji, elaun dan sebagainya yang melayakkan kadar zakat dibayar mengikut pendapatan semasa.

“Jadi sistem ini bukan sahaja dapat membantu pembayar membuat taksiran kadar zakat mereka malah membantu pihak kita meningkatkan jumlah kutipan zakat pendapatan ini setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata, pihak Pejabat Pusat Kutipan Zakat Pahang akan mengaturkan siri penerangan kepada kumpulan sasar berhubung perlaksanaan sistem ini dari semasa ke semasa.

“Ini antara perancangan utama kita untuk tahun depan bagi meningkatkan kadar kutipan zakat pendapatan tahun hadapan.

“Selain itu kita juga akan sasarkan kutipan zakat pendapatan melalui perniagaan terhadap kumpulan-kumpulan tertentu.

‘Antara kumpulan yang kita kenal pasti untuk bekerjasama termasuk dalam kalangan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang mempunyai ahli seramai 23,000 orang di Pahang," katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 5,600 ahlinya mempunyai pendapatan lebih 3,000 sebulan dan layak untuk membayar zakat.

Halidan berkata, bagi kutipan zakat korporat tahun ini, RM30 juta berjaya dikutip daripada 120 syarikat-syarikat besar dan kebanyakan syarikat itu membayarnya secara konsisten setiap tahun manakala 2,500 syarikat kecil di negeri ini antara penyumbang kepada kutipan zakat keseluruhannya.

“Sepanjang 2016 hingga hari ini (kelmarin) jumlah keseluruhan kutipan zakat di Pahang sebanyak RM92.5 juta bagaimanapun kita yakin dalam tempoh berbaki beberapa hari lagi untuk tahun ini, jumlahnya mampu meningkat kepada RM112 juta.

“Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding sasaran kita untuk tahun ini RM115 juta bagaimanapun kita ambil kesempatan dalam tempoh beberapa hari ini untuk membuka kaunter dari 26 hingga 31 Disember kerana kita jangkakan, ramai yang tampil membayar zakat di saat-saat akhir,” katanya.


0 comments:

share2