Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 14, 2016

IBU TUNGGAL DERITA KANSER SERVIKS


Ibu tunggal derita kanser serviks


Hulu Terengganu - Jika sebelum ini dia gigih mencari sesuap nasi menyara dua anaknya, namun kini hanya mampu berehat bertemankan ubat-ubatan setelah disahkan menghidap kanser serviks tahap tiga.

Ibu tunggal yang mahu dikenali sebagai Zuraida, 39, berkata, dia kini perlu menjalani rawatan terapi secara berkala dan bergantung kepada enam jenis ubat sehari.

Menurutnya, berat badannya kini turun mendadak dari 69 kilogram (kg) kepada 55 kg berikutan hilangnya selera makan akibat menderita sakit sejak Ogos lalu.

"Mulanya saya pengsan di rumah awal Ogos lalu. Saya kemudiannya dibawa ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dua hari selepas itu.

“Empat hari saya berada di sana (HSNZ) bagaikan nak luruh jantung, apabila dimaklumkan saya menghidap kanser serviks tahap tiga dan ketika itu juga antara percaya atau tidak sebab sebelum ini kesihatan saya baik sahaja," katanya.

Zuraida berkata, disebabkan masalah kesihatan, dia tiada pilihan hingga terpaksa berhenti kerja 8 Ogos lalu setelah 12 tahun mencari rezeki dengan bekerja di sebuah kedai di Ajil.

"Duit gaji RM1,000 sebulan itulah saya besarkan anak-anak yang kini sudah pun berusia 16 dan 15 tahun.

“Kehidupan saya terus berubah, saya tidak mampu bergerak aktif sebaliknya lebih selesa duduk serta berbaring bagi elak kesakitan dialami. Melipat pakaian pun boleh menyebabkan rasa sakit," katanya.

Di saat dia mengumpul kekuatan dan semangat, dia diuji sekali lagi pada 28 Ogos lalu setelah berlaku pendarahan.

"Sebulan saya ‘berkampung’ di HSNZ dan Hospital Kubang Kerian menerima rawatan termasuk jalani rawatan terapi,” katanya.

Tambah Zuraida, biarpun terkadang merasa jemu dengan ubat, mahu atau tidak setiap hari dia perlu mengambil enam jenis ubat dan pada 12 Januari tahun hadapan dia perlu ke Hospital Kubang Kerian untuk dapatkan rawatan.

"Sekarang saya harapkan anak saudara untuk menyara kami sekeluarga. Saya tak nak terus harapkan dia dan mahu kembali sihat.

"Sekarang saya tinggal bersama mak dan ayah berusia 75 tahun, seorang anak saudara serta seorang kakak yang juga ibu tunggal,” ujarnya.

Tidak mahu ada wanita lain di luar sana turut menanggung penderitaan sepertinya, Zuraida berharap mereka dapat menjalani ujian Pap Smear kerana ia mampu menyelamatkan nyawa wanita apabila kanser serviks dapat dikesan di peringkat awal.


0 comments:

share2